Berita Utama

Ismail Sabri dilantik sebagai Timbalan Perdana Menteri

Pelantikan diharap tingkatkan keupayaan PN, perkuat perpaduan antara parti

PUTRAJAYA, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Perdana Menteri, Tan Sri Mahiaddin Yassin melantik Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri dan kekal memegang portfolio Menteri Pertahanan. 

Pejabat Perdana Menteri (PMO) dalam satu kenyataan memberitahu, pelantikan akan dapat membantu Perdana Menteri menguruskan pentadbiran negara dan memenuhi keperluan rakyat dalam keadaan negara sedang menghadapi krisis kesihatan serta ekonomi.

Sementara itu, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein pula dilantik sebagai Menteri Kanan Luar Negeri. 

“Sebagai Menteri Kanan, beliau akan mengetuai Kluster Keselamatan yang sebelum ini diketuai oleh Datuk Seri Ismail Sabri. 

“Di samping itu, Perdana Menteri bersetuju supaya Datuk Seri Hishammuddin membantu beliau dalam pelaksanaan Pelan Pemulihan Negara,” kata PMO, hari ini.

Jabatan itu menyatakan, kedua-dua pelantikan ini telah disembah maklum kepada Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong dan berkuat kuasa serta-merta.

“Adalah diharapkan pelantikan ini akan meningkatkan lagi keupayaan kerajaan Perikatan Nasional (PN) khususnya dalam menghadapi pandemik COVID-19, memperkuatkan perpaduan dalam kalangan parti-parti yang membentuk kerajaan dan memperkukuhkan kerajaan PN dengan tadbir urus yang telus, bebas rasuah dan berintegriti.

“Pejabat Perdana Menteri mengucapkan setinggi-tinggi tahniah kepada Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di atas pelantikan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button