Berita UtamaDunia

Jangkitan COVID-19 di UK boleh cecah 100,000

UK teruskan keputusan hapus sekatan sedia ada berkait wabak pandemik

LONDON, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Jangkitan COVID-19 di United Kingdom (UK) berkemungkinan akan meningkat dua kali ganda dalam tempoh dua minggu akan datang, selepas negara itu menghapuskan sekatan wabak pandemik sedia ada, kata Setiausaha Kesihatan, Sajid Javid.

Kes jangkitan di seluruh UK kini dicatatkan di bawah 29,000 sehari, dan menurut Javid, angka itu boleh mencecah 100,000 sehari dalam musim panas.

“Ketika kita melonggarkan sekatan dan memasuki musim panas, kita menjangkakan kes akan meningkat dengan ketara, dan ia boleh mencapai 100,000 angka kes,” kata Javid di radio BBC pada hari Selasa.

Perdana Menteri, Boris Johnson mengumumkan pada hari Isnin bahawa penghapusan sekatan yang sedia ada di UK akan diteruskan pada 19 Julai walaupun terdapat amaran daripada pakar kesihatan agar tidak melakukannya.

Javid mempertahankan pendekatan ditetapkan oleh Johnson, tetapi mengakui ketidakpastian yang cukup besar.

“Apa yang lebih penting dari segalanya adalah jumlah kemasukan ke hospital dan angka kematian, dan di situlah ia semakin berkurang.

“Untuk rekod – pada masa ini, kita melihat sekitar 25,000 kes baru sehari. Kali terakhir kita mencatat angka seperti itu, kita mempunyai kematian sekitar 500 sehari. Dan sekarang kita hanya berada di sekitar sepertiga dari jumlah itu,” katanya.

Javid juga mengatakan ada kemungkinan varian baru COVID-19 muncul, dengan kemungkinan ia mampu melawan vaksin.

“Satu perkara yang tidak ada yang dapat dikatakan dengan pasti di mana saja di dunia adalah perkembangan virus di masa depan,” katanya.

Isnin lalu, Johnson mengatakan: “Saya ingin menekankan sejak awal bahawa pandemik ini masih belum selesai dan ia pasti tidak akan berakhir pada (19 Julai). Kita mungkin berdepan dengan lebih banyak kematian akibat COVID-19”.

Walaupun begitu, beliau tetap mengatakan bahawa had kapasiti dan peraturan penjarakan sosial akan dihapuskan pada tarikh tersebut. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button