Berita Utama

Kait isu kebun haram dengan kaum, Tengku Zulpuri cuba tegak benang basah?

Kenyataan MP Raub takkan ubah hakikat kegiatan pencerobohan adalah salah

BANGI, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA) menyelar kenyataan Ahli Parlimen Raub, Tengku Zulpuri Raja Puji yang mempersoalkan tindakan penguat kuasa memusnahkan kebun haram Musang King di Hutan Simpan Batu Talam.

Ini susulan kenyataan Tengku Zulpuri yang mempersoalkan kenapa baru sekarang kebun haram di daerah berkenaan hendak ditebang, selain mempertikaikan tindakan itu sebagai mempunyai kaitan dengan kaum.

Katanya, terdapat lebih 4,450 hektar kawasan yang diteroka secara haram di Raub termasuk membabitkan kampung Melayu seperti Kampung Batu Talam dan Kampung Ulu Dong.

Namun, Tengku Zulpuri berkata, kerajaan negeri tidak seharusnya bertindak berdasarkan kaum dalam isu membabitkan pekebun durian Musang King di daerah itu.

Membidas kenyataan itu, Pengerusi PEMBELA, Haji Aminuddin Yahaya berkata, persoalan yang ditimbulkan Ahli Parlimen DAP itu bukan kerana mahukan jawapan, tetapi sebagai satu hujah untuk mempertahankan kumpulan penceroboh.

“Wahai YB Ahli Parlimen Raub, jika benar-benar jujur ingin bertanyakan soalan ‘kenapa sekarang baru hendak tebang’, sepatutnya YB sudah membuat laporan SPRM.

“Pihak kami sudah buat laporan SPRM dalam isu pencerobohan di Raub ini di mana beberapa kali saya turun naik Ibu Pejabat SPRM di Putrajaya. 

“Pejabat SPRM Pahang pun kita sudah jejakkan kaki untuk tujuan sama,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Oleh itu, Aminuddin tertanya-tanya apakah persoalan itu adalah hujah mempertahankan pekebun haram atau sebagai satu cubaan untuk mengalihkan isu berkenaan.

Katanya, persoalan yang dibangkitkan Tengku Zulpuri itu bagaimanapun tidak akan mengubah walaupun sedikit hakikat bahawa pekebun haram berkenaan adalah penceroboh dan kegiatan mereka salah.

“Malah, tindakan mempertahankan pencerobohan adalah satu masalah integriti. Sudah-sudahlah menegakkan benang yang basah.

“Saya tahu mereka adalah pengundi di kawasan YB, tetapi tolonglah ada maruah sikit. Di manakah integriti sebagai wakil rakyat jika perkara yang salah pun kita bermati-matian mempertahankannya,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button