Berita Utama

KLSCAH kutuk cara kerajaan Pahang kendali kebun haram Musang King

Gesa benarkan pekebun haram jalankan kegiatan seperti biasa hingga 21 Julai

BANGI, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Jawatankuasa Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur dan Selangor (KLSCAH) mengutuk, sekeras-kerasnya tindakan kerajaan negeri Pahang yang didakwa mengabaikan perintah mahkamah berhubung isu pencerobohan kebun haram durian Musang King di Raub.

KLSCAH dalam satu kenyataan mendakwa, kerajaan negeri dan pihak penguat kuasa tidak mempedulikan perintah mahkamah yang dikeluarkan pada 5 Januari lalu.

Pertubuhan itu mendakwa, pihak berkuasa sepatutnya mematuhi perintah penangguhan yang dikeluarkan mahkamah rayuan sehingga kes berkenaan didengar semula pada 21 Julai.

“Pihak berkuasa sepatutnya membenarkan pekebun di Raub keluar masuk dengan bebas ke kebun mereka.

“Malangnya, sejak perintah penangguhan pelaksanaan dikeluarkan oleh mahkamah pada 5 Januari, pihak berkuasa terlibat tidak berusaha mengadakan perbincangan hati ke hati dengan pekebun di Raub.

“Sebaliknya, dalam waktu COVID-19 inilah, dengan tanpa belas kasihan mereka menindas pekebun yang telah mengusahakan kebun bertahun-tahun lamanya, mencetuskan suasana tegang dan cemas yang tidak sepatutnya berlaku,” katanya seperti dilapor portal Malaysiakini berbahasa Cina pada 5 Julai lalu.

Ekoran situasi pandemik yang membimbangkan selain mempertimbangkan keadaan pekebun, KLSCAH mencadangkan kerajaan Pahang mengambil langkah penguatkuasaan yang lebih ringan.

“Pokok-pokok durian ini sudah sekian lama tumbuh dan tidak menganggu kerja-kerja pemulihan ekologi.

“Jika isu pekebun tanpa hak milik tanah tidak dapat diselesaikan dengan baik, akan menyebabkan konfrontasi berpanjangan antara pekebun dan pihak berkuasa yang akan berakhir dengan kerugian pada kedua-dua pihak, ini tidak membawa faedah kepada aktiviti pertanian negeri dan pekebun,” katanya.

Justeru, KLSCAH mendakwa, kerajaan negeri Pahang, Royal Pahang Durian Resources Sdn Bhd dan pekebun haram sepatutnya mengadakan perbincangan secepat mungkin sebelum kes semakan kehakiman yang difailkan mereka didengar di mahkamah pada 21 Julai.

“Oleh itu, KLSCAH menggesa kerajaan Pahang membenarkan tanah kebun tanpa hak milik ini dan menyelesaikan masalah kebun haram yang membelenggu sekian lama,” katanya.

Terdahulu, seramai 18 penceroboh haram kebun durian Musang King ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Mereka ditahan selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button