Berita Utama

Lebih 16 hektar kebun durian Musang King telah dimusnahkan

Tumpuan operasi musnah kawasan tanaman haram, sita barangan, kenderaan

KUANTAN, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) telah memusnahkan kira-kira 16.5 hektar daripada 101 hektar kebun durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub di sini sejak operasi dilaksanakan bermula Sabtu lepas.

Pengarahnya Datuk Dr Mohd Hizamri Mohd Yasin berkata operasi berkenaan berjalan lancar setakat ini dengan penglibatan Pasukan Gerakan Am (PGA) bagi mengawal keselamatan petugas.

“Pada operasi hari ini, kira-kira lapan hektar kebun durian itu telah dimusnahkan setakat 1.20 tengah hari tadi, sekali gus menjadikan jumlah kawasan yang telah dimusnahkan 16.5 hektar atau lebih 16 peratus,” katanya ringkas ketika dihubungi Bernama di sini hari ini.

JPNP dalam kenyataan sebelum ini memaklumkan operasi itu tertumpu kepada tindakan memusnahkan kesemua tanaman durian yang ditanam secara haram selain tangkapan serta sitaan barang dan kenderaan akan dibuat terhadap mereka yang masuk ke kawasan HSK tanpa kebenaran.

Jabatan itu turut memaklumkan operasi berkenaan tidak melibatkan kawasan seluas 2,167 hektar di sekitar Raub yang menjadi subjek dalam kes mahkamah yang belum selesai antara 110 pekebun dengan enam pihak termasuk Pentadbir Tanah Daerah Raub, Pengarah Perhutanan Pahang dan Royal Pahang Durian Resources PKPP Sdn Bhd. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button