Dunia

Myanmar: Dari krisis politik jadi malapetaka hak asasi manusia

PBB dakwa rampasan kuasa punca negara gagal, perang saudara meluas

YANGON, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Sejak insiden rampasan kuasa pada Februari, situasi di Myanmar kini berubah daripada krisis politik kepada pelbagai dimensi malapetaka hak asasi manusia, menurut Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia PBB, Michelle Bachelet berkata, keadaan itu sekali gus meningkatkan kemungkinan kepada kegagalan negara atau perang saudara yang lebih luas. 

“Awalnya ia bermula sebagai rampasan kuasa oleh tentera Myanmar, dan kini berubah menjadi serangan terhadap penduduk awam yang semakin berleluasa dan sistematik,” katanya.

Dalam laporan lisan kepada Majlis Hak Asasi Manusia di Geneva ke atas Myanmar sejak rampasan kuasa pada 1 Februari, Bachelet berkata, hampir 900 orang terbunuh dan 200,000 yang lain terpaksa meninggalkan rumah akibat serangan tentera di kawasan kejiranan serta kampung.

“Krisis ini menambah lagi kesan COVID-19 yang sudah menjadi bencana pada ekonomi yang bergantung pada kiriman wang, industri pakaian dan sektor lain yang terjejas oleh kemelesetan global,” katanya. 

Katanya, Program Makanan Dunia menganggarkan lebih daripada enam juta orang sangat memerlukan bantuan makanan dan Program Pembangunan PBB bahawa hampir separuh penduduk menjadi miskin pada awal 2022. 

“Kelompongan itu akan membentuk kegiatan ekonomi haram yang paling berbahaya dan memperluaskan aktiviti jenayah,” katanya. 

Malah, Bachelet berkata, tindakan mogok di seluruh negara dan pemecatan penjawat awam termasuk pendidik serta kakitangan perubatan telah melumpuhkan banyak perkhidmatan penting di Myanmar.

Sejak 1 Februari, sekurang-kurangnya 240 serangan terhadap kemudahan kesihatan, pegawai perubatan, ambulans dan pesakit sehingga melumpuhkan ujian, rawatan serta vaksinasi COVID-19 di negara itu.-   Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button