Berita Utama

Peranti ujian COVID-19 kendiri air liur capai sensitiviti 90 peratus

Perincian panduan penggunaan kit ujian dijangka selesai pada minggu depan

KUALA LUMPUR, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Kajian Institut Penyelidikan Perubatan (IMR) mendapati dua peranti ujian kendiri (Rapid Antigen test) yang menggunakan air liur bagi saringan COVID-19, mencapai tahap sensitiviti 90 peratus.

Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham berkata kajian yang dijalankan IMR telah selesai dan perincian panduan penggunaan kit ujian kendiri itu dijangka selesai pada minggu depan.

“Dua ujian kendiri air liur telah selesai dikaji oleh IMR dan kedua-dua mempunyai sensitiviti melebihi 90 peratus. MDA (Pihak Berkuasa Peranti Perubatan) sedang memperincikan panduan penggunaan dan insya-Allah akan selesai minggu depan,” katanya menerusi ciapan dalam Twitter hari ini.

Pada Mei lepas, Dr Noor Hisham memaklumkan terdapat dua syarikat menawarkan kit ujian itu untuk dijual di farmasi tempatan.

Katanya, menerusi penggunaan kit ujian air liur itu, individu tidak perlu hadir ke fasiliti kesihatan untuk membuat saringan awal bagi mengesan COVID-19. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button