Berita Utama

PRN: 2,540 saluran mengundi dibuka

Polis beri jaminan proses PRN Sabah akan berjalan lancar

KOTA KINABALU, 8 Safar 1442H, Sabtu – Sebanyak 2,540 saluran di 741 pusat mengundi dibuka di semua 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) pada 7.30 pagi, bagi membolehkan rakyat Sabah memilih kerajaan baharu pada Pilihan Raya Negeri (PRN) ke-16.

Proses pengundian yang melibatkan 1,088,711 daripada 1,103,646 pengundi biasa, akan dikendalikan 17,257 petugas pilihan raya sehingga waktu mengundi tamat pada 5 petang.

Menurut Jabatan Meteorologi Malaysia, cuaca pada sebelah pagi diramal hujan di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, Kudat, pedalaman dan Sandakan manakala ribut petir di satu dua tempat di bahagian Pantai Barat, pedalaman dan Sandakan pada sebelah petang.

Memandangkan PRN ini diadakan dalam keadaan negara masih berdepan ancaman pandemik COVID-19 terutama di Sabah yang saban hari menyaksikan peningkatan kes positif baharu virus itu, seramai 1,594 petugas kesihatan turut ditempatkan di pusat mengundi di seluruh negeri.

Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Hazani Ghazali pula meminta orang ramai keluar mengundi tanpa sebarang keraguan dan pihaknya memberi jaminan proses PRN Sabah akan berjalan lancar.

PRN tersebut diadakan selepas Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal membubarkan DUN Sabah sehari selepas bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman mendakwa memperoleh cukup majoriti untuk membentuk kerajaan baharu. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button