Berita Utama

Sultan Nazrin perkenan solat Jumaat, fardu ikut keluasan dewan

Perlu patuhi jarak fizikal ditetapkan berkuat kuasa esok

IPOH, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Sultan Perak Sultan Nazrin Shah memperkenankan semua masjid di negeri ini menerima bilangan jemaah solat Jumaat dan fardu mengikut keluasan dewan solat utama dengan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan, berkuat kuasa pada solat maghrib esok.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) Datuk Seri Mohd Annuar Zaini berkata Sultan Perak menzahirkan titah itu setelah dipersembahkan dan baginda berpuas hati dengan keupayaan jawatankuasa dan pegawai masjid mematuhi dan melaksanakan garis panduan operasi yang ditetapkan Kementerian Kesihatan (KKM) dan Majlis Keselamatan Negeri (MKN) Perak.

Mohd Annuar berkata Sultan Nazrin juga membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan di semua masjid dan surau dengan bilangan jemaah mengikut keluasan dewan solat utama dan mematuhi jarak fizikal yang ditetapkan.

“(Baginda) membenarkan solat sunat Aidiladha diadakan di tempat terbuka dan kawasan lapang dalam kawasan-kawasan perumahan dengan memaklumkan sekurang-kurangnya tiga hari sebelum sambutan Aidiladha kepada Balai Polis atau Pondok Polis terdekat,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Mohd Annuar berkata baginda turut bertitah agar semua surau, termasuk di dalam kem tentera dan polis, bangunan pejabat, institusi, universiti, politeknik, maktab, sekolah, syarikat dan kilang, diberi kebenaran mendirikan solat Jumaat agar seramai mungkin jemaah berpeluang menunaikan solat itu.

Mohd Annuar yang juga Ahli Dewan Negara Perak berkata Sultan Perak turut bertitah solat jenazah dibenarkan di masjid dan surau dengan jemaah lelaki sahaja terbatas kepada ahli-ahli kariah.

Beliau berkata jemaah yang dibenarkan berjemaah di masjid dan surau bagi solat fardu dan solat sunat Aidiladha terhad kepada jemaah lelaki dan wanita, warganegara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas manakala solat Jumaat dan solat jenazah hanya membenarkan jemaah lelaki, warganegara dan penduduk tetap Malaysia berusia 12 tahun ke atas.

Beliau berkata baginda turut membenarkan kuliah ilmu diadakan di masjid dan surau iaitu di dalam ruang waktu antara selesai solat maghrib sementara menantikan masuknya waktu solat isyak dan aktiviti dihentikan sebaik masuk waktu fardu isyak, dan tidak melebihi 30 minit kepada jemaah yang berada di dalam masjid dan surau sementara menanti azan solat Jumaat.

“Kumpulan berisiko tinggi (terutama kalangan yang menghidap penyakit tertentu), dinasihatkan tidak menghadiri aktiviti berkumpulan di masjid dan surau,” katanya dan menambah jamuan di dalam, merangkumi pekarangan masjid dan surau tidak dibenarkan.

Bagi kawasan yang diisytiharkan berada dalam kategori Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) katanya, sebarang aktiviti termasuk mendirikan solat Jumaat, solat fardu, solat sunat Aidiladha dan solat jenazah di masjid dan surau yang terletak di dalam kawasan itu, tidak dibenarkan.

“Baginda turut memberikan kuasa budi bicara kepada Orang Besar Jajahan bersama Pegawai Daerah dan Pegawai Tadbir Agama Daerah untuk mengarahkan mana-mana masjid atau surau dalam mana-mana kariah atau mukim, dalam daerah masing-masing ditutup sementara.

“Juga tidak dibenarkan mendirikan solat Jumaat, solat fardu, solat jenazah dan solat sunat Aidiladha di dalam masjid dan surau apabila mendapat nasihat atau maklum balas daripada MKN, Jabatan Kesihatan dan PDRM, ada berlakunya penularan wabak dalam kariah atau mukim berkaitan,” katanya.

Mohd Annuar berkata Jabatan Agama Islam Perak akan mengeluarkan garis panduan terperinci kepada semua jawatankuasa serta pegawai masjid dan surau, di samping bertanggungjawab memantau pematuhan garis panduan menurut yang ditetapkan.

“Sultan Nazrin memahami hasrat umat Islam mahu mengimarahkan rumah-rumah Allah dan beribadah secara berjemaah. Titah perkenan baginda menetapkan bilangan jemaah tertakluk kepada status semasa penularan wabak COVID-19 di negeri Perak Darul Ridzuan.

“Dalam memenuhi hasrat tersebut, baginda perlu mengutamakan faktor keselamatan kesihatan para jemaah serta menimbangkan tugas berat yang sedang dihadapi oleh para petugas barisan hadapan terutamanya kakitangan KKM,” katanya. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button