Berita Utama

Sekolah diarah kawal Minggu Solidariti Palestin elak cetus masalah

Tiada paksaan kepada pihak sekolah untuk anjur

BANGI, 12 Rabiulakhir 1445H, Jumaat – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan supaya penganjuran Minggu Solidariti Palestin di sekolah dikawal supaya tidak menimbulkan sebarang masalah.

Menurutnya, tiada paksaan kepada pihak sekolah untuk menganjurkan Minggu Solidariti Palestin, meskipun ia digalakkan.

“Itu kita kena kawal. Tadi kita bincang dengan Jemaah Menteri, pertama kita tidak galakkan dan paksa semua sekolah (buat Minggu Solidariti Palestin).

“Keduanya kita kena kawal supaya jangan jadi masalah,” katanya seperti dilapor media tempatan, hari ini.

Beliau berkata demikian bagi mengulas tindakan beberapa pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang membantah arahan supaya sekolah mengadakan Minggu Solidariti Palestin pada 29 Oktober hingga 3 November.

NGO berkenaan menggesa kerajaan supaya institusi pendidikan tidak dibabitkan dengan isu konflik antarabangsa, perang dan pertikaian agama.

Sebelum ini, tular foto kanak-kanak memegang senjata mainan didakwa berkaitan dengan Minggu Solidariti Palestin yang dianjurkan di sekolah.

Gambar itu menunjukkan murid sekolah memegang senapang dan mesingan mainan, sambil mengenakan skarf dan kain di kepala yang tertera sokongan untuk Palestin.

Dilaporkan, badan bukan kerajaan (NGO) Global Human Rights Federation (GHRF) mengecam tindakan itu dan menyifatkannya sebagai ‘mengejutkan dan menakutkan’.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button