Berita Utama

UMNO dijangka terus bergolak meskipun keluar kerajaan PN

Zahid dan penentangnya mungkin bawa haluan masing-masing bila sidang Parlimen bermula

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Pengakuan Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa rakaman perbualan telefon yang tular bersama Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebelum ini adalah suaranya, mengesahkan ada rancangan kerjasama atau penjajaran baru UMNO-Pakatan Harapan (PH).

Penganalisis politik, Dr Mazlan Ali berkata, ia dikuatkan lagi dengan pengakuan terbuka beliau yang mahukan Anwar menjadi Perdana Menteri melalui surat akuan bersumpah (SD).

Beliau berkata, ini menunjukkan bahawa dalam beberapa hari ini, Ahmad Zahid sudah melakukan satu ‘gerakan’ untuk memuktamadkan kedudukan UMNO dalam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Namun, katanya, gerakan Ahmad Zahid ini sedikit tersekat berikutan usaha-usaha penentang beliau yang enggan keluar daripada kerajaan PN dengan alasan tidak sesuai di waktu pandemik COVID-19 menular.

“Zahid juga berdepan situasi sukar kerana keputusan Perhimpunan Agung UMNO (PAU) menetapkan ‘No Anwar, No DAP’.

“Bagaimanapun, saya percaya Zahid akan meneruskan usaha mendapatkan sokongan Ahli Parlimen dan menteri-menteri untuk keluar dari kerajaan yang dilihat lemah dan gagal menangani pendemik COVID-19,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, Pensyarah Kanan Pusat Perdana, Fakulti Razak, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, mesyuarat yang dilaporkan akan diadakan malam ini dijangka bakal memuktamadkan keputusan UMNO dalam kerajaan PN.

“Jika keadaan buntu, UMNO akan terus berpecah dan mungkin kumpulan Zahid dan kumpulan penentang akan mengambil jalan masing-masing apabila bermula sidang Parlimen.

“Namun, jika hanya kurang dari tujuh orang yang memilih untuk keluar, Mahiaddin masih ada peluang mempertahankan kerajaan dengan mencari sokongan daripada parti-parti lain.

“Bagaimanapun, UMNO sendiri akan terus bergolak dan mungkin akan ada Ahli Parlimen atau Menteri UMNO akan dipecat,” katanya.

Sementara itu, mengulas pelantikan terbaharu Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob sebagai Timbalan Perdana Menteri, Dr Mazlan menyifatkan ia sebagai strategi Mahiaddin untuk mengelakkan UMNO keluar daripada kerajaan.

Pun begitu, usaha ini tetap akan menjadi buntu jika kumpulan Ahmad Zahid berkeras untuk keluar dari kerajaan.

“Sebab jika UMNO mahu jawatan TPM, mereka sudah terima lama lagi. Saya fikir pemimpin UMNO melihat kerajaan lemah dan gagal tangani krisis COVID-19 dan ekonomi,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button