Dunia

WHO syor ubat arthritis dengan kortikosteroid rawat pesakit COVID-19

Penggunaan 2 ubat sendi kurangkan risiko kematian, ventilasi mekanikal

ZURICH, 26 Zulkaedah 1442H, Rabu – Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mengesyorkan penggunaan ubat sakit sendi (arthritis) jenis Actemra dari Roche dan Kevzara dari Sanofi yang mengandungi kortikosteroid untuk merawat pesakit COVID-19. 

Menurut WHO, saranan penggunaan kedua-dua ubat berkenaan dibuat setelah data dari kira-kira 11,000 pesakit COVID-19 menunjukkan pengurangan kepada risiko kematian. 

Agensi itu membuat kesimpulan bahawa penggunaannya ke atas pesakit COVID-19 yang kritikal dengan menyekat keradangan dapat mengurangkan risiko kematian serta keperluan ventilasi mekanikal. 

Menerusi analisis WHO, risiko kematian dalam tempoh 28 hari bagi pesakit yang mendapat salah satu ubat artritis dengan kortikosteroid seperti dexamethasone adalah 21 peratus, berbanding 25 peratus di antara mereka yang menerima rawatan biasa. 

Bagi setiap 100 pesakit seperti itu, empat lagi akan bertahan, kata WHO. 

Malah risiko untuk ventilasi mekanikal atau kematian juga menurun kepada 26 peratus bagi mereka yang mendapat ubat dan kortikosteroid berbanding 33 peratus mereka yang menerima rawatan standard.

WHO berkata, untuk setiap 100 pesakit seperti itu, tujuh lagi akan bertahan tanpa ventilasi mekanikal. 

“Kita telah mengemas kini panduan rawatan klinikal untuk menggambarkan perkembangan terbaharu ini,” kata pegawai Kesihatan Darurat WHO, Janet Diaz. 

Analisis itu merangkumi 10,930 pesakit, di mana 6,449 daripadanya mendapat salah satu ubat dan 4,481 menerima rawatan standard atau plasebo.

Minggu lalu, Pentadbiran Makanan dan Dadah Amerika Syarikat (AS) mengeluarkan kelulusan penggunaan kecemasan Actemra untuk COVID-19. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button