Berita UtamaIstimewa

Hilang sokongan UMNO, kerajaan Perikatan Nasional tumbang?

Perlu satu usul dan undian khas ukur tahap sokongan kepada PM dalam Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – Beberapa faktor susulan pengisytiharan Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bahawa partinya menarik balik sokongan terhadap kerajaan Tan Sri Mahiaddin Yassin, perlu diteliti terlebih dahulu sebelum dapat ditentukan sesebuah kerajaan itu telah tumbang atau sebaliknya.

Pakar Perlembagaan, Dr Muhammad Fathi Yusof berkata, ia tertakluk sama ada pengisytiharan yang dibuat oleh beliau itu benar-benar mewakili keseluruhan Ahli Parlimen UMNO, atau mewakili sebahagian sahaja atau hanya mewakili dirinya sendiri.

Beliau menjelaskan, dalam keadaan biasa, apabila satu parti besar yang mempunyai jumlah Ahli Parlimen dapat menentukan kedudukan seseorang Perdana Menteri, mengumumkan pembatalan sokongan, maka Perdana Menteri berkenaan dianggap telah kehilangan sokongan atau kepercayaan majoriti.

“Dalam Perlembagaan Persekutuan, Perkara 43(4) menyebut jika Perdana Menteri tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat, maka Perdana Menteri hendaklah meletakkan jawatan Jemaah Menteri melainkan jika atas permintaannya Parlimen dibubarkan oleh Yang di-Pertuan Agong.

“Manakala, Perkara 43(2)(a) pula menyebut Yang di-Pertuan Agong hendaklah melantik seorang ahli Dewan Rakyat yang pada hematnya mungkin mendapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat sebagai Perdana Menteri.

“Jadi dalam amalan yang pernah berlaku di peringkat kerajaan negeri di Perak, Sabah, Terengganu dan Johor misalnya, apabila Menteri Besar atau Ketua Menteri telah hilang sokongan majoriti, kebiasaannya meletakkan jawatan, dan Sultan kemudiannya melantik tokoh baru yang mendapat sokongan majoriti menggantikan tempatnya,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Bagaimanapun, bagi perkembangan terbaharu pendirian UMNO terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN), Dr Fathi berkata, belum jelas apa tindakan parti itu yang akan dibuktikan mengikut Perlembagaan.

Beliau berkata, bagi mereka yang mempunyai jawatan dalam kerajaan seperti menteri, timbalan menteri atau pengerusi agensi kerajaan, pembatalan sokongan perlu ditunjukkan melalui perletakan jawatan.

“Jika pembatalan sokongan hanya melibatkan sebahagian sahaja, maka perlu ditentukan adakah jumlah yang membatalkan sokongan itu cukup untuk menjadikan Perdana Menteri hilang sokongan majoriti,” katanya.

Selain itu, dalam situasi politik yang serba tidak menentu ini, katanya, perlu juga dilihat kemungkinan Ahli-ahli Parlimen yang dahulunya berada di blok pembangkang, tetapi kini ingin beralih memberikan sokongan kepada Perdana Menteri.

“Ringkasnya, situasi politik semasa menjadikan penentuan tahap sokongan kepercayaan kepada Perdana Menteri sukar dilakukan di luar Dewan Rakyat. 

“Oleh yang demikian, kaedah yang paling tepat ialah dengan mengadakan satu usul dan undian khas bagi mengukur tahap sokongan Perdana Menteri sedia ada dalam Mesyuarat Khas Parlimen bermula 26 Julai nanti,” katanya.

Siapa pengganti yang layak?

Felo Penyelidik (Undang-undang dan Perlembagaan), Pusat Polisi Perdana, Universiti Teknologi Malaysia (UTM) itu berkata, faktor kedua yang perlu dilihat dalam isu ini adalah soal pengganti kepada Perdana Menteri. 

“Dalam satu-satu masa, perlu ada kerajaan yang mentadbir. Jika seorang Perdana Menteri hilang sokongan, penggantinya perlu segera dilantik. Pengganti berkenaan perlulah mendapat sokongan majoriti anggota Dewan Rakyat. 

“Buat masa ini belum nampak seorang tokoh yang benar-benar memenuhi kriteria berkenaan. 

“Walau bagaimanapun, terpulang kepada kebijaksanaan Yang di-Pertuan Agong untuk menentukan berkenaan soal ini kerana pelantikan Perdana Menteri di bawah Perkara 43(2)(a) adalah termasuk dalam kuasa budi bicara Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

COVID-19 masih menular, bila PRU boleh dilaksanakan?

Antara faktor utama yang amat perlu dititikberatkan oleh semua pihak adalah situasi wabak COVID-19 yang melanda negara kini, tegasnya.

Beliau berkata, dalam situasi biasa, krisis politik begini boleh dirungkaikan melalui pilihan raya bagi membolehkan rakyat menubuhkan kerajaan baharu, sebagaimana yang pernah berlaku di Sabah akhir tahun 2020 yang lalu. 

Pun begitu, sejarah telah mencatatkan bahawa Pilihan Raya Negeri Sabah menyebabkan berlaku lonjakan besar kes COVID-19.

“Oleh itu, adalah diharapkan agar krisis yang sedang berlaku kini tidaklah menyebabkan berlaku pembubaran Parlimen dalam masa terdekat kerana ia membawa risiko pilihan raya umum dalam tempoh 60 hari selepas pembubaran berlaku. 

“Langkah yang berbeza boleh diambil bagi memastikan wujud kestabilan politik bagi membolehkan negara memberikan fokus kepada usaha pemulihan dalam mendepani wabak COVID-19. 

“Situasi semasa negara yang berada dalam tempoh darurat boleh dimanfaatkan untuk mengelakkan berlaku Pilihan Raya Umum terlalu awal,” katanya.

Beliau menegaskan, pilihan raya umum (PRU) wajar dilaksanakan selepas negara melepasi Fasa ke-4 Pelan Pemulihan Negara, atau sekurang-kurangnya selepas Fasa ke-3, bagi memastikan mengurangkan risiko meningkatan kes di luar kawalan akibat kempen pilihan raya. 

“Buat masa ini, kerajaan dan ahli-ahli politik perlu mengambil langkah berhati-hati agar sebarang kemelut politik dapat dirungkaikan dengan bijak dan selamat,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button