Berita Utama

Dua wanita mabuk, positif dadah rempuh SJR ditahan

Seorang daripada suspek bertindak agresif, tumbuk anggota polis bertugas

KUALA LUMPUR, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – Dua wanita dipercayai mabuk dan di bawah pengaruh dadah ditahan selepas merempuh sekatan jalan raya (SJR) di Lebuhraya Persekutuan, awal pagi tadi.

Seorang daripada suspek dipercayai telah bertindak agresif dan menumbuk seorang anggota polis dalam kejadian kira-kira 3 pagi itu.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, ACP Mohamad Fakhruddin Abdul Hamid berkata, kedua-dua suspek berusia dalam lingkungan 20-an ditahan di dalam kenderaan yang dipandu menghala ke Petaling Jaya dari Kuala Lumpur.

“Siasatan awal mendapati pemandunya tidak memberhentikan kenderaan dan merempuh sekatan itu namun berjaya ditahan setelah dikejar kereta polis peronda polis (MPV) di Jalan Universiti, Petaling Jaya,” katanya dalam kenyataan hari ini,

Pemandu kereta itu enggan memberi kerjasama malahan menimbulkan provokasi ketika diperiksa dan bertindak agresif dengan menumbuk anggota polis yang bertugas.

Ujian saringan alkohol kedua-dua suspek melebihi paras yang ditetapkan manakala ujian air kencing mereka positif dadah jenis ganja.

Kes disiasat mengikut Seksyen 26 (2) Akta Polis 1967 kerana tidak berhenti semasa sekatan jalan raya, Seksyen 353 Kanun Keseksaan kerana menyerang anggota polis, serta Seksyen 22(b) Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana tidak mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Fasa Satu Kawalan Pergerakan dalam Pelan Pemulihan Negara (PPN).

Kes juga disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 kerana salah guna dadah dan kedua-dua suspek direman selama dua hari bagi membantu siasatan bermula hari ini hingga esok. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button