Berita Utama

Jemaah Menteri masih kekal: Peguam Negara

Tiada fakta jelas PM tak lagi dapat kepercayaan majoriti ahli Dewan Rakyat

BANGI, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – Perdana Menteri dan Jemaah Menteri sedia ada masih kekal untuk terus menjalankan kuasa eksekutif Persekutuan, tegas Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun.

Ia berdasarkan Perkara 43(2)(a) Perlembagaan Persekutuan, penentuan sama ada seseorang itu mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat hendaklah ditentukan oleh ahli-ahli Dewan Rakyat sendiri, dan bukan melalui kenyataan oleh sesuatu parti politik, ataupun mana-mana pemimpin parti politik.

“Merujuk kenyataan media yang dikeluarkan Presiden UMNO (Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi) bertarikh 7 Julai, kenyataan tersebut merupakan kenyataan daripada suatu parti komponen yang membentuk kerajaan sedia ada, dilantik Yang di-Pertuan Agong menurut Perkara 43(1) dan (2) Perlembagaan Persekutuan.

“Buat masa ini, kerajaan tidak mempunyai apa-apa fakta jelas yang menunjukkan Perdana Menteri (Tan Sri Muhyiddin Yassin) tidak lagi mendapat kepercayaan majoriti ahli-ahli Dewan Rakyat,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Terdahulu, UMNO mengambil keputusan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan terhadap Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dengan serta-merta.

Ahmad Zahid menjelaskan, keputusan itu dipersetujui bersama dalam MKT selepas UMNO mendapati Muhyiddin gagal, terutama dalam mengurus ekonomi negara, pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Selaras keputusan itu, UMNO mendesak agar Muhyiddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button