Berita Utama

Kenyataan Presiden UMNO tidak gambarkan keputusan MKT?

Ramai mengeluh, keliru dengan kenyataan Ahmad Zahid

BANGI, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – Kenyataan Presiden UMNO, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi awal pagi tadi didakwa tidak menggambarkan keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) semalam.

Perkara itu dimaklumkan Ahli Parlimen Ketereh, Tan Sri Annuar Musa yang mendakwa, ia diberitahu sendiri oleh beberapa ahli MKT yang menyatakan kenyataan media Presiden itu tidak menggambarkan keputusan mesyuarat tersebut.

Dakwanya, kenyataan dibacakan Ahmad Zahid itu disiapkan lebih awal sebelum mesyuarat MKT bermula pada jam 8.30 malam tadi.

“Sebaik saja Presiden UMNO selesai membuat kenyataan media lewat tengah malam tadi, saya dihubungi beberapa ahli MKT yang menyatakan kenyataan media Presiden tidak menggambarkan keputusan mesyuarat MKT.

“Tinjauan lanjut menyatakan apa yang dibaca kepada media adalah kenyataan yang telah disiapkan lebih awal, sebelum MKT bermesyuarat. Jika benar, ternyata sekali lagi MKT dipermainkan dan ini amat serius,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Selain itu, beliau berkata, melalui mesej dalam kumpulan Whatsapp Ketua UMNO Bahagian juga, ramai yang mengeluh dan keliru dengan kenyataan Ahmad Zahid itu.

Bahkan ada antara mereka yang juga ahli MKT mengesahkan ia tidak menggambarkan intipati dan rumusan mesyuarat MKT.

Lantaran itu, Annuar Musa mempersoalkan mengapa perkara seperti itu boleh terjadi berkali-kali, lain dibincang, lain pula dirumuskan.

“25 ahli MKT bercakap, dalam suasana yang agak tenang dan jujur memberi pendapat. Jelas banyak pendapat yang berbeza. Tiada konsensus yang ketara. Tiada undian dibuat.

“Malah, perbincangan tidak berkisar kepada sama ada UMNO perlu keluar dari Kerajaan Perikatan Nasional (PN) seperti yang dimomokkan sebelum ini termasuk pendirian yang dimohon dari pertemuan secara berasingan dengan ahli MT,” katanya.

Justeru, bekas Setiausaha Agung UMNO itu menggesa Ahmad Zahid menjelaskan kedudukan sebenar dengan segera mengeluarkan kenyataan yang benar kerana lambat laun, kedudukan sebenar akan terserlah jua dan tidak baik bagi parti itu.

Terdahulu, UMNO memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Tan Sri Muhyiddin Yasin.

Menurut Presiden UMNO, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat MKT semalam yang berlangsung secara maya selama lebih empat jam, bermula 8.30 malam.

Selaras keputusan itu, UMNO menuntut supaya Muhyiddin meletakkan jawatan untuk memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad bagi menguruskan hal pandemik COVID-19 dan bantuan kepada rakyat.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button