MAIS beri kefahaman tentang ilmu faraid kepada umat Islam
Anjur Kempen Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 bermula 5 Julai hingga 6 Ogos

SHAH ALAM, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) akan terus memberikan kefahaman dan kesedaran ilmu faraid sebagai kaedah pembahagian harta dalam kalangan orang Islam menerusi Kempen Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 bermula 5 Julai hingga 6 Ogos ini.
Pengerusinya Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof berkata menerusi pendedahan dalam media massa, didapati hampir RM70 bilion nilai harta pusaka dengan majoritinya milik orang Islam di negara ini tidak dituntut sejak merdeka hingga kini dan angka tersebut amat membimbangkan.
Ketika merasmikan Kempen Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 secara dalam talian menerusi Facebook MAIS hari ini, Abdul Aziz berkata kempen tersebut bertujuan mendidik dan memastikan umat Islam sentiasa mengambil berat terhadap harta yang diperoleh serta dibelanjakan.
“Pihak MAIS mengharapkan sokongan daripada semua pihak terutamanya masjid dan surau untuk program ilmiah yang dianjurkan ini dikongsikan dalam media sosial masing-masing supaya kempen tersebut berjaya mencapai sasaran dalam memberi kesedaran serta mendidik masyarakat memahami ilmu faraid,” katanya.
Menurutnya pelbagai program ilmiah dirancang sepanjang pelaksanaan Kempen Bulan Faraid Negeri Selangor 2021 antaranya Wacana Faraid, Kuliah Faraid Bersiri, Program Bicara Pusaka dan Slot Celik Pewarisan dan Baitulmal. – Bernama