Berita Utama

Calon Speaker: Nama tular tiada perbezaan ketara dengan PH

NGO mahu lantikan junjung tinggi Islam dalam Perlembagaan Persekutuan

BANGI, 16 Zulkaedah 1441H, Rabu – Kerajaan Perikatan Nasional (PN) sekali lagi digesa mempertimbangkan calon yang menjunjung tinggi kedudukan serta kedaulatan Islam dalam Perlembagaan bagi menggalas jawatan Speaker Dewan Rakyat.

Gesaan disuarakan Naib Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Prof Dr Zainur Rashid Zainuddin selepas melihat calon yang dinamakan dalam usul untuk menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya tidak banyak perubahan dan penambahbaikan yang ketara.

Katanya, beliau serta ramai aktivis NGO Islam menegaskan, agar pihak kerajaan mempertimbangkan ciri-ciri seorang Speaker Dewan Rakyat yang bakal dilantik seperti menghormati serta menjunjung sistem raja berperlembagaan.

Selain itu, calon itu juga perlu menghormati serta menjamin hak kedudukan orang Melayu, Bumiputera dan hak kaum-kaum lain seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, berakhlak mulia, berintegriti dan mempunyai rekod bebas rasuah serta tegas dalam menjunjung semua prinsip Rukun Negara, katanya.

“Kita berharap agar pihak kerajaan dapat mengambil serius tuntutan ini bagi kelangsungan dan jaminan untuk agenda Islam dan Bumiputera serta keharmonian hidup seluruh rakyat dan pembangunan negara,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sebelum ini dilaporkan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Azizan Harun dan bekas Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Azalina Othman Said dicalonkan dalam usul untuk menggantikan Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya.

Menurut laporan portal FMT, Azhar akan menggantikan Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusuf sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat manakala Azalina menggantikan Nga Kor Ming sebagai Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat.

Kata portal itu, kertas pesanan yang menyenaraikan perdebatan dan usul menjelang persidangan Dewan Rakyat pada 13 Julai ini turut merangkumi usul Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk menyingkirkan Mohamad Ariff dan timbalannya itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button