Berita UtamaDunia

Qatar wujud peluang kerja untuk lebih 50,000 rakyat Palestin

Inisiatif Taqat sokong keluarga Palestin di Semenanjung Gaza, Tebing Barat

DOHA, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – Qatar Charity (QC) telah menggajikan lebih daripada 50,000 graduan Palestin dan mencipta pekerjaan berkonsepkan ‘remote working’ melalui inisiatif ‘Taqat’.

Disifatkan sebagai salah satu ‘inisiatif kemanusiaan yang unik’ di dunia, ia bertujuan untuk meringankan beban pengangguran, memperbaiki keadaan ekonomi keluarga Palestin dan memperkuat peranan belia kreatif yang memerlukan pekerjaan, lapor Badan Berita Qatar.

Ini adalah sebahagian daripada kempen ‘Bantuan Palestin’ yang dilancarkan oleh QC untuk menyokong keluarga Palestin di Semenanjung Gaza dan Tebing Barat.

Menurut Biro Statistik Pusat Palestin, kira-kira 40,000 rakyat Palestin lulus dari institusi pendidikan tinggi setiap tahun, namun kebanyakannya menganggur kerana peluang pekerjaan yang terhad.

Awal tahun ini, Bank Dunia mengesahkan lebih daripada 66,000 pekerja Palestin kehilangan pekerjaan tahun lalu di tengah wabak COVID-19, yang menyebabkan peningkatan kadar pengangguran mencapai 27.8 peratus.

Jumlah pekerja di pasaran buruh turun dari 951,000 pada tahun 2019 kepada 884,00 pada tahun 2020.

Sementara itu, di Gaza, pengangguran sekarang berada pada paras 50 peratus sementara 60 peratus penduduk hidup di bawah garis kemiskinan.

Serangan negara haram Israel di Gaza bulan lalu memusnahkan sebahagian besar infrastruktur daerah tersebut termasuk kemudahan kesihatan dan pendidikan, jalan raya, bangunan kediaman serta penjanaan kuasa dan bekalan air.

Agensi Kerja dan Bantuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Untuk Pelarian Palestin (UNRWA) mengumumkan bahawa pencerobohan Israel baru-baru ini memindahkan lebih daripada 75,000 penduduk Palestin dari kediaman mereka, dengan 28,700 berlindung di sekolah-sekolah agensi itu, sama ada kerana perobohan rumah atau melarikan diri dari pengeboman. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button