Berita Utama

Rakyat kecam UMNO tinggalkan PN ketika kes COVID-19 melonjak tinggi

Zahid pun patut letak jawatan, ahli UMNO tolak pemimpin terbabit kes mahkamah

BANGI, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – Tindakan UMNO menarik balik sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional (PN) sukar diterima, di kala negara berhadapan situasi genting apabila jangkitan COVID-19 hari ini mencecah lebih 8,000 kes. 

Walaupun keputusan itu dikatakan bersandarkan kepada kepentingan rakyat, masing-masing pengguna media sosial merasakan tindakan berkenaan sekadar memenuhi cita-cita parti keramat Melayu itu yang ‘gilakan’ kuasa.  

Tidak mempercayai tujuh sebab utama yang UMNO nyatakan untuk menamatkan sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Yassin, salah seorang pengguna laman sosial Facebook, Hakimuddin M Jalil berkata, parti itu hanya menggunakan alasan memberi fokus kepada kebajikan rakyat.

“Tak pernah habis dengan politik. Menggunakan alasan nak bantu rakyat tapi yang terzahir daripada perbuatan adalah lebih kepada hendakkan kuasa.

“Semoga yang gilakan dan tamakkan kuasa dijauhi Allah daripada mendapat tempat dalam pentadbiran negara,” katanya.

Sementara itu, pengguna laman Facebook, Siti Khatijah menegaskan, pada masa ini kerajaan sepatutnya mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan COVID-19 bukan berebut hendakkan tempat Perdana Menteri.

“PM yang ada dengan TPM kira okay dah. Kalau asyik berbalah sampai bila Malaysia nak aman dan makmur. Malulah dengan dunia luar. Kita kena pegang kata orang tua dulu seperti air dicincang takkan putus. Gaduh macam mana pun kita kena bersatu padu demi negara kita Malaysia,” katanya.

Turut berang dengan situasi semasa, Ariff Ipin berkata, dalam kekalutan ini, pada akhirnya rakyat tetap menderita dek kerana ahli politik yang gila kuasa.

“Tak habis politik bodoh rakyat menderita kau orang duk gila kuasa. Apa nak jadi aku pun tak tahu dah, ini semua politik menyusahkan rakyat. Kami menderita disebabkan kalian perangai pentingkan diri.

Manakala seorang lagi pengguna, Supri Sufian pula meminta Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi meletakkan jawatan secara berhormat seperti mana beliau meminta Mahiaddin berbuat perkara yang sama.

“Zahid pun tolong letak jawatan secara berhormat. Kerana kau nanti UMNO nyawa-nyawa ikan balik. Orang sibuk pasal COVID-19, kau sibuk juga pasal politik. Tunggulah COVID-19 selesai dahulu,” katanya.

Sementara itu, Najiha Anggun Andaman berkata, selagi COVID-19 di Malaysia ini tidak seperti negara Brunei, selagi itu dia tidak akan menyokong mana-mana parti. 

“Rakyat jaga SOP, berkurung dalam rumah keluar bila perlu, kerja pun tak boleh. Hidup semakin susah, tertekan mana nak fikir untuk tambah pendapatan. Orang politik tak habis-habis fikir pasal siapa nak jadi Perdana Menteri.

“Tolonglah bersatu para politik tak kiralah parti pembangkang sekalipun untuk kita sama-sama hapuskan wabak COVID-19 di muka bumi Malaysia ini.

“Rakyat dah letih sangat-sangat ni. Kalau rakyat semua mati kerana COVID-19 ini, awak orang politik memerintahlah dengan puak-puak awak tanpa rakyat,” katanya.

Kisuk Senalor pula mengatakan bahawa ahli UMNO sebenarnya sudah lama menolak Ahmad Zahid yang mempunyai puluhan kes mahkamah.

“Kenapalah Zahid ini susah sangat faham, ahli UMNO dah lama tolak dia. Percayalah kalau UMNO nak pulih, muka-muka bermasalah seperti Zahid, Najib, Nazri Aziz dan yang ada kes mahkamah jangan terlibat sama sekali dalam pergerakan UMNO. Tok Mat Negeri Sembilan kena ‘lead’ UMNO baru,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button