Berita Utama

Trend kemasukan kes ke ICU masih tinggi, petugas KKM alami lesu upaya

Penggunaan katil di ICU kini masih melebihi kadar 90 peratus

KUALA LUMPUR, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – Trend kemasukan kes COVID-19 ke unit rawatan rapi (ICU) masih berada di tahap tinggi yang menyaksikan penggunaan katil ICU masih melebihi kadar 90 peratus, kata Ketua Pengarah Kesihatan Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.

Beliau berkata pada masa sama, petugas barisan hadapan (Perubatan dan Kesihatan) mengalami gejala lesu upaya kerana terpaksa berjuang menangani begitu banyak kes COVID19 untuk tempoh yang kian berlarutan.

“KKM (Kementerian Kesihatan) ingin memaklumkan bahawa jumlah purata kes baharu harian selama tujuh hari (30 Jun hingga 6 Julai 2021) ialah sebanyak 6,539 kes dan ia didapati masih tinggi berbanding nilai ambang PPN (Pelan Pemulihan Negara) (untuk Fasa Satu ke Fasa Dua) iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari (atau 12.2 kes baharu harian bagi setiap 100,000 penduduk).

“Lebih membimbangkan lagi, trend kemasukan kes COVID-19 ke ICU masih berada pada tahap yang tinggi. Ia tidak menunjukkan penurunan yang ketara sejak dari Minggu Epidemiologi (ME) ke-23 (6 hingga 12 Jun 2021) hingga kini,” menurutnya dalam kenyataan perkembangan situasi COVID-19.

Dr Noor Hisham juga berkata negeri yang mencatatkan bilangan kes baharu melebihi nilai 12.2 kes bagi setiap 100,000 penduduk ialah Labuan, Negeri Sembilan, Kuala Lumpur, Selangor, Melaka, Putrajaya, Sarawak dan Pahang.

Beliau berkata empat negeri iaitu Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Labuan menunjukkan peningkatan kes harian baharu lebih 38 kes bagi setiap 100,000 penduduk iaitu melebihi kapasiti maksimum hospital selama tujuh hari kebelakangan ini sekali gus akan menyebabkan sistem kesihatan di negeri terbabit lumpuh.

“Malah kes meningkat secara purata 2.6 peratus selama tujuh hari kebelakangan ini. Jika situasi ini berterusan, sistem kesihatan di negeri-negeri tersebut akan lumpuh dan seterusnya situasi yang sama bagi seluruh negara mungkin berlaku,” katanya.

Dr Noor Hisham berkata dengan perkembangan ini, KKM mengambil langkah segera bagi meningkatkan lagi kapasiti merawat COVID-19 di lapangan antaranya penukaran beberapa hospital di kawasan Lembah Klang sebagai hospital bagi rawatan COVID-19 sepenuhnya seperti Hospital Ampang, Hospital Sungai Buloh dan Hospital Pakar Kanak-kanak Universiti Kebangsaan Malaysia.

Ia turut melibatkan langkah meningkatkan kapasiti katil Hospital Kuala Lumpur (HKL), Hospital Selayang dan Hospital Tengku Ampuan Rahimah Klang (HTAR) untuk dijadikan pusat rawatan pesakit kategori empat dan lima.

“Ia juga termasuk memindahkan pesakit bukan COVID-19 ke hospital swasta terutamanya sekitar HKL dan HTAR melalui mekanisme penyumberan luar, mempertimbang menukar status Hospital Shah Alam bagi merawat kes-kes COVID-19, menaik taraf kegunaan katil di wad biasa kepada katil rawatan pesakit kritikal COVID-19 dan menambah kapasiti katil bagi menempatkan pesakit COVID-19 di Pusat Kuarantin dan Rawatan COVID-19 (PKRC),” katanya.

Dr Noor Hisham berkata KKM juga memobilisasikan lebih ramai petugas kesihatan dari negeri Fasa Dua PPN ke negeri kritikal bagi tujuan rawatan pesakit, mobilisasi anggota dari hospital swasta dan menggalakkan penglibatan sukarelawan dalam aktiviti mengawal serta vaksinasi.

Beliau turut menasihati negeri yang telah beralih ke Fasa Dua PPN untuk terus mengamalkan kepatuhan penuh prosedur operasi standard (SOP) seperti digariskan bagi memastikan situasi di negeri terbabit terus pulih serta beralih ke fasa seterusnya bagi mempercepat proses pemulihan sektor kesihatan, ekonomi dan sosial. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button