Berita Utama

UMNO tarik balik sokongan kepada PM serta-merta

Desak Mahiaddin berundur secara terhormat supaya PM baharu dapat dilantik

KUALA LUMPUR, 27 Zulkaedah 1442H, Khamis – UMNO awal pagi ini memutuskan untuk menarik balik dan menamatkan sokongan serta-merta terhadap Tan Sri Mahiaddin Yassin.

Presidennya, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) malam ini yang berlangsung secara maya selama lebih empat jam, bermula 8.30 malam tadi.

Katanya, keputusan berkenaan dicapai susulan kegagalan kerajaan Perikatan Nasional (PN) memenuhi tujuh pra syarat yang ditetapkan UMNO sewaktu Muhyiddin menjadi Perdana Menteri pada 1 Mac 2020.

“Memenuhi mandat sebulat suara para perwakilan di Perhimpunan Agung UMNO 2020 dan berpandukan kepada tujuh kegagalan kerajaan memenuhi aspirasi rakyat yang digariskan, maka tempoh memberikan sokongan kepada Tan Sri Mahiaddin Yasin selaku Perdana Menteri ditarik balik dan ditamatkan.

“Justeru, UMNO mendesak agar Tan Sri Mahiaddin dapat berundur secara terhormat bagi membolehkan seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh yang terhad,” katanya dalam sidang media yang diadakan secara maya dari Pusat Dagangan Kuala Lumpur.

Ahmad Zahid yang juga Ahli Parlimen Bagan Datuk berkata, sepanjang tempoh berkenaan, perdana menteri baharu itu hanya akan memfokuskan kepada usaha membantu kebajikan rakyat sepanjang pandemik COVID-19 dengan pendekatan inklusif, selain memastikan proses vaksinasi dan imunisasi dapat disegerakan.

“Setelah berjaya mencapai tahap imunisasi kelompok, perdana menteri baharu mestilah segera menasihati Yang di-Pertuan Agong bagi menyerahkan kembali mandat kepada rakyat untuk diadakan Pilihan Raya Umum ke-15.

“Ini penting bagi membolehkan sebuah kerajaan yang benar-benar stabil dan memperoleh mandat majoriti rakyat diwujudkan sebagaimana titah Yang di-Pertuan Agong,” katanya.

Katanya, Mesyuarat MKT turut mengulangi pendirian sepertimana diputuskan pada Perhimpunan Agung UMNO 2020 untuk tidak menyokong sebarang usaha mencalonkan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai perdana menteri, atau pun kerajaan yang ditunjangi oleh DAP-Pakatan Harapan.

Menurutnya, mesyuarat juga turut mengabsahkan keputusan penangguhan pemilihan UMNO selama 18 bulan selaras dengan Fasal 10.16 Perlembagaan UMNO.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button