Dunia

7 tahun dipenjara, tahanan Palestin bebas selepas 65 hari mogok lapar

Al-Ghadanfar dipenjara tanpa sebarang tuduhan, perbicaraan

RAMALLAH, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Tahanan Palestin yang melancarkan mogok lapar selama 65 hari dibebaskan semalam, menurut Agensi Middle East Monitor (MEMO). 

Al-Ghadanfar Abu Atwan, 28, melancarkan protes itu selepas berada di bawah tahanan pentadbiran – yang dipenjara tanpa sebarang tuduhan serta perbicaraan – oleh rejim penjajah Israel. 

Adik perempuan Al-Ghadanfar, Benazeer dan peguamnya, Jawad Boulos mengesahkan bahawa dia dibebaskan lewat semalam dan perintah penahanan pentadbiran ke atasnya dibatalkan. 

Keluarga Al-Ghadanfar juga mengesahkan, dia tidak akan berhenti mogok sehingga kembali bersama mereka di luar penjara Israel. 

Al-Ghadanfar yang ditahan pada Oktober 2020 di bawah penahahan pentadbiran selama enam bulan dan kemudian dilanjutkan, telah melancarkan mogok lapar sejak 5 Mei. 

Dalam tempoh itu, dia menolak semua bentuk makanan termasuk vitamin dan makanan tambahan. Protes itu telah memberikan kesan kepada tahap kesihatannya. 

“Sekarang, dia kelihatan seperti hantu pada dirinya. Pipinya cengkung, tubuhnya lemah dan dia hampir tidak boleh bercakap, berjalan dan bergerak,” kata ibu Ghadanfar, Majdoleen. 

Difahamkan, Al-Ghadanfar telah menghabiskan hampir tujuh tahun hidupnya sejak berusia 19 tahun di tahanan Israel, apabila pernah ditangkap pasukan rejim sebanyak empat kali.

Tiga daripada empat penahanannya, termasuk penjara terakhir adalah hukuman tahanan pentadbiran dengan hampir lima tahun penjara.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button