Asia Tenggara hampir ‘tumbang’ dengan lonjakan kes COVID-19
Indonesia antara paling teruk terkesan akibat varian Delta

SINGAPURA, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Setelah melepasi tempoh terburuk ketika pandemik COVID-19 yang tercetus tahun lalu, Asia Tenggara kini berdepan lonjakan kes jangkitan dan kematian, tatkala proses vaksinasi bergerak perlahan serta varian baharu menular.
Ketika negara lain seperti Britain, Jerman dan Perancis bersiap sedia menghapuskan sekatan, kerajaan di Asia Tenggara pula bertindak memperketatkan kawalan dengan harapan sekatan bersasar akan mengurangkan kenaikan kes sejak Mei.
Indonesia menjadi negara yang paling teruk terkesan dengan gelombang baharu ini, apabila kes harian sebanyak 38,391 direkodkan pada Khamis – iaitu enam kali ganda daripada bulan sebelumnya.
Kadar pesakit di hospital Pulau Jawa – yang paling padat penduduk – juga telah mencapai tahap maksimum, apatah lagi dengan masalah kekurangan bekalan oksigen dan ruang di kawasan perkuburan COVID-19 yang hampir penuh.
Rekod kematian juga meningkat di Malaysia dan Thailand pada Khamis, di mana pihak berkuasa mencadangkan sekatan perjalanan dalam negeri ekoran varian baharu Delta yang menyebabkan kelumpuhan ke atas Indonesia dan Bangkok.
Terminal baharu di lapangan terbang ibu negara Thailand juga diubah menjadi hospital medan dengan menempatkan 5,000 katil bagi rawatan COVID-19.
Sementara di Myanmar, lebih 4,000 kes baharu dicatatkan – paling tinggi – pada Khamis, selain kematian tertinggi juga direkodkan Kemboja dalam tempoh sembilan hari terakhir.
Pakar kesihatan menjangkakan tahap ujian saringan yang rendah di negara padat seperti Indonesia dan Filipina juga mungkin memberikan jumlah kes jangkitan yang tidak menyeluruh.
Manakala, Myanmar pula mengalami penurunan kadar ujian saringan sejak tentera merampas kuasa pada Februari lalu. – Agensi