Berita Utama

DUN Selangor mula bersidang 23 Ogos

Pembukaan dewan telah diperkenan Agong, Sultan Selangor: MB

SHAH ALAM, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah telah memberi perkenan pembukaan sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor yang mula bersidang pada 23 Ogos hingga 6 September depan.

Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari dalam kenyataan hari ini memaklumkan pembukaan sidang DUN tersebut diberi perkenan Seri Paduka melalui warkah yang diutuskan Al-Sultan Abdullah bertarikh 6 Julai (Selasa). 

Amirudin berkata, Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah juga telah memberi perkenan baginda bagi tujuan Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Dewan Undangan Negeri Selangor Ke-14 Tahun 2021. 

“Sultan Selangor telah berkenan untuk berangkat dan mencemar duli bagi merasmikan Istiadat Pembukaan Dewan Negeri Selangor Darul Ehsan pada Isnin, 23 Ogos depan.

“Kerajaan negeri Selangor menjunjung kasih di atas perkenan Seri Paduka dan Sultan Selangor yang sentiasa prihatin terhadap kebebasan amalan demokrasi di negeri ini,” katanya.

Amirudin berkata, selepas istiadat pembukaan, DUN kemudian akan mula bersidang selama lapan hari, iaitu 24 hingga 27 Ogos; 30 Ogos, 1 September hingga 3 September serta 6 Sept depan.

Katanya lagi, sidang dewan kali ini adalah mengikut format sidang biasa yang mempunyai sesi soal jawab dan perbahasan dan bukan sekadar sidang khas.

“Sidang DUN kali ini akan dijalankan dengan kawalan tatacara pengendalian piawai dan memfokuskan kepada segala usaha kerajaan negeri menangani penularan wabak COVID-19, serta mendapatkan maklum balas dan cadangan Ahli Dewan Negeri Selangor sesuai dengan peranan bidang legislatif sebagai sistem semak imbang kepada bidang eksekutif.

“Ini juga selaras dengan aspirasi rakyat agar setiap keputusan kerajaan negeri dibuat secara bertanggungjawab dan berhemah serta pada masa yang sama mempertingkatkan usaha mendepani wabak COVID-19 di Selangor,” katanya.- Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button