Berita Utama

Guan Eng mohon kes rasuah dipindah ke Mahkamah Tinggi

Pendakwa raya akan bantah permohonan atas alasan fail saat akhir

KUALA LUMPUR, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng telah memfailkan permohonan supaya kes rasuah membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu, yang akan dibicarakan Selasa depan di Mahkamah Sesyen, dipindahkan ke Mahkamah Tinggi.

Berdasarkan notis permohonan yang difailkan semalam (8 Julai) menerusi Tetuan Gobind Singh Deo & Co, Lim turut memohon supaya semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonannya bagi memindahkan kes, yang akan didengar di hadapan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin, Isnin ini.

Lim menerusi afidavit sokongannya berkata, kes dihadapinya itu perlu dipindahkan ke Mahkamah Tinggi agar keputusan berkaitan kes berkenaan boleh dirayu sehingga ke Mahkamah Persekutuan.

Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin ketika dihubungi pemberita melalui aplikasi WhatsApp hari ini berkata, pihaknya akan membantah permohonan berkenaan antaranya atas alasan ia difailkan di saat akhir.

“Perbicaraan kes di Mahkamah Sesyen akan bermula Selasa depan di hadapan Hakim Azura Alwi dan pihak pendakwaan telah bersedia untuk menjalankan kes dan akan memanggil beberapa orang saksi dari Pulau Pinang untuk memberi keterangan.

“Namun, semalam pihak kami mendapat tahu bahawa peguam bela kepada YB Lim telah memfailkan permohonan di bawah Sesyen 417 Kanun Tatacara Jenayah untuk memindahkan kes dihadapi Lim dari Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi,” katanya yang turut memaklumkan tarikh perbicaraan kes itu telah dipersetujui kedua-dua pihak pada 21 Disember tahun lepas.

Sebelum ini, mahkamah telah menetapkan 13 hingga 16 Julai; 28 dan 29 Julai, 16 hingga 20 Ogos, 6 hingga 10 September, 20 hingga 24 September dan 13 hingga 17 Disember depan untuk perbicaraan kes.

Mengikut pertuduhan pindaan pertama, Lim, 60, didakwa sebagai Ketua Menteri Pulau Pinang, menggunakan kedudukannya untuk menerima suapan wang berjumlah RM3.3 juta dengan mengambil tindakan membantu syarikat milik Datuk Zarul Ahmad Mohd Zulkifli dilantik untuk melaksanakan Projek Pembinaan Jalan-Jalan Utama dan Terowong di Pulau Pinang yang bernilai RM6,341,383,702.

Kesalahan itu didakwa dilakukan antara Januari 2011 dan Ogos 2017 di Pejabat Ketua Menteri Pulau Pinang.

Bagi pertuduhan pindaan kedua, Lim didakwa meminta suapan 10 peratus daripada keuntungan yang akan diperoleh daripada Zarul sebagai upah bagi membantu syarikat milik ahli perniagaan itu dilantik untuk projek sama.

Lim dituduh melakukan perbuatan itu berhampiran Hotel The Gardens, Lingkaran Syed Putra, Mid Valley City, di sini pada Mac 2011, antara 12.30 tengah malam dan 2 pagi.

Ahli Parlimen Bagan itu juga dituduh atas dua pertuduhan menyebabkan dua lot tanah milik kerajaan negeri Pulau Pinang yang bernilai RM208.8 juta dilupuskan kepada syarikat pemaju berkaitan projek terowong dasar laut di negeri tersebut yang didakwa dilakukan di Pejabat Tanah dan Galian Negeri Pulau Pinang, Komtar, pada 17 Februari 2015 dan 22 Mac 2017.-  Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button