Berita Utama

Kapasiti katil Hospital Melaka di tahap kritikal

Hampir semua ruang hospital diguna untuk rawatan

MELAKA, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Sebuah Hospital Medan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan didirikan di Hospital Jasin tidak lama lagi untuk mengurangkan kesesakan di Hospital Melaka.

Mengikut data sehingga kelmarin, kapasiti katil di Hospital Melaka berada pada paras kritikal iaitu mencecah 91 peratus, menyebabkan dua buah hospital daerah kini terpaksa menerima dan merawat pesakit COVID-19 bermula awal minggu ini. 

“Hampir semua ruang di Hospital Melaka telah digunakan untuk rawatan, termasuk semua zon di Jabatan Kecemasan, bilik mesyuarat, stor, sementara khemah telah dipasang di tempat parkir ambulans untuk menampung pesakit COVID-19.

“Kami sekarang telah memutuskan untuk menjadikan hospital Jasin dan Alor Gajah menjadi pusat rawatan COVID-19 dengan segera,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Anti Dadah negeri, Datuk Rahmad Mariman.

Beliau berkata, Hospital Melaka mempunyai 444 tempat tidur yang dikhususkan untuk kes COVID-19 dan sebanyak 400 telah dipenuhi pesakit positif.

Sementara itu, katil di Jabatan Kecemasan Hospital Melaka juga turut menempatkan pesakit COVID-19 termasuk di zon hijau, kuning dan merah. 

Katanya, katil bagi merawat pesakit COVID-19 di jabatan itu turut ditingkatkan kepada 60 katil, berbanding hanya 10 sebelum ini. 

“Kita merancang untuk menjadikan laluan dan zon hijau ditutup dan pesakit tidak kritikal boleh mendapat rawatan di Klinik Kesihatan (KK) Peringgit yang akan dibuka untuk 24 jam. 

“Anggaran KK itu mampu menampung seramai 150 pesakit zon hijau dari Hospital Melaka,” katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan bahawa kerajaan negeri turut bercadang untuk menambah katil penjagaan kritikal dan peralatan di Hospital Melaka bagi menampung keperluan unit rawatan rapi (ICU). 

Katanya, negeri ini masih jauh untuk mencapai kriteria ke Fasa 2 Pelan Pemulihan Negara (PPN) memandangkan purata penggunaan katil mencecah 155 peratus.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button