Dunia

Pfizer minta FDA tambah dos ketiga vaksin

Keberkesanan menurun kepada 64 peratus bulan Jun

NEW YORK, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Pfizer akan memohon agensi ubat-ubatan (FDA) selaku pengawal selia kesihatan Amerika Syarikat (AS) membenarkan dos tambahan vaksin COVID-19 dalam tempoh sebulan akan datang. 

Tindakan itu susulan bukti risiko jangkitan yang lebih tinggi terhadap penyebaran varian Delta. 

Ketua Pegawai Saintifik Pfizer, Mikael Dolsten berkata, penurunan keberkesanan vaksin di Israel baru-baru ini, disebabkan jangkitan pada individu yang telah menerima vaksin pada Januari atau Februari.

Kementerian kesihatan negara itu mendakwa, keberkesanan vaksin dalam mencegah jangkitan dan simptom penyakit menurun kepada 64 peratus pada bulan Jun. 

“Vaksin Pfizer sangat aktif terhadap varian Delta. Namun, setelah enam bulan, ia kemungkinan mempunyai risiko jangkitan semula kerana antibodi, yang diramalkan semakin berkurang,” katanya. 

Pfizer bagaimanapun tidak menyiarkan data lengkap membabitkan keberkesanan vaksin itu di Israel, namun mendakwa akan diterbitkan tidak lama lagi. 

Katanya, data dari Israel dan Britain menunjukkan bahawa walaupun tahap antibodi penerima semakin berkurang, vaksin itu tetap berkesan kepada wabak dalam sekitar 95 peratus. 

Vaksin yang dibangunkan dengan Jerman BioNTech menunjukkan 95 peratus keberkesanan mencegah gejala COVID-19  dalam percubaan klinikal yang dijalankan syarikat itu tahun lalu. 

Dolsten mendakwa, data awal kajian syarikat itu menunjukkan dos tambahan ketiga berupaya menghasilkan tahap antibodi lima hingga 10 kali ganda daripada dos kedua. 

Dia percaya bahawa suntikan tambahan dos ketiga Pfizer sangat penting terutama kepada golongan warga emas. 

Ekoran dos tambahan berkemungkinan mendorong permintaan vaksin lebih tinggi kerana kebanyakan dunia masih belum divaksinasi, Dolsten berkata, Pfizer akan berusaha meningkatkan pengeluarannya.

Pfizer sudah menyasarkan pengeluaran sebanyak tiga bilion dos tahun ini dan empat bilion lagi dos untuk tahun 2022.-  Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button