Berita Utama

Selangor dijangka beralih ke fasa 2 PPN pada Ogos atau September

Proses vaksinasi ditingkatkan untuk beralih ke fasa seterusnya

SEPANG, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari menjangkakan negeri ini dapat beralih ke fasa dua Pelan Pemulihan Negara (PPN) menjelang Ogos atau September ini.

Beliau berkata, perkara itu dapat berlaku jika beberapa penanda aras yang ditetapkan sebelum proses peralihan ke fasa seterusnya telah dicapai. 

Antara penanda aras itu adalah kadar kes baharu, kadar vaksinasi dan keadaan sistem kesihatan di negeri ini.

“Kalau dua minggu kita berjaya lengkapkan vaksinasi untuk kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) di Selangor, menjelang Ogos atau September kita mungkin dapat beralih ke fasa kedua atau ketiga.

“Dengan pelaksanaan Program Vaksin Selangor (SelVAX) dan komitmen daripada Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar, kita akan dapat tingkatkan proses vaksinasi selepas ini untuk beralih ke fasa seterusnya,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas mengadakan tinjauan di kawasan PKPD Bersasar Taman Murni, hari ini.

Mengulas lanjut, Amirudin berkata, pelaksanaan PKPD dan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) adalah bertujuan untuk menyelamatkan serta mempertahankan sistem kesihatan di negeri ini.

“Malah, keputusan hasil pelaksanaan PKPD juga bukannya dapat dilihat dalam tempoh tiga atau empat hari kerana ia ada kitarannya.

“Mungkin tiga minggu baharu kita akan lihat kesan PKPD dan PKP yang dilaksanakan ini,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button