Berita Utama

Sikap anti-Islam terus menyubur dalam DAP

Persenda 'Kerajaan Allah' bukti DAP konsisten bawa ideologi cauvinis

BANGI, 28 Zulkaedah 1442H, Jumaat – Penghinaan veteran DAP, Lim Kit Siang terhadap agama Islam, baru-baru ini membuktikan betapa konsisten beliau membawa mesej, agenda dan ideologi cauvinis di negara ini. 

Malah, kebiadaban yang berterusan itu turut disokong dan didukung oleh ahli-ahli politik DAP yang lain.

Terdahulu, Ahli Parlimen Iskandar Puteri itu memuat naik satu kenyataan dalam bahasa Inggeris di akaun Facebooknya yang mempersoalkan mengapa Malaysia masih berada pada landasan tercorot dalam indeks normal dalam menangani pandemik COVID-19.

Kit Siang menulis: “If Allah government is the best form of government in Covid-19 pandemic, why Malaysia is the last in the economist’s global normalcy index losing out to countries none of which can claim to be “Allah’s government”.

Kenyataan Kit Siang itu adalah respons kepada kenyataan Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang yang berkata, bahawa pandemik COVID-19 adalah ujian kepada manusia dan hanya ‘kerajaan Allah yang Maha Berkuasa dan Maha Sempurna’ boleh menghapuskan virus itu.

Menyelar provokasi itu, Ketua Pemuda BERJASA, Ustaz Fahmi Bazlan Muda berkata, kebiadaban di kalangan pemimpin DAP kekal berterusan dan terbukti dalam isu-isu sebelum ini yang membabitkan pemimpin serta Ahli Parlimen itu.

“Sebelum ini, kes Lim Guan Eng samakan murtad dengan lompat parti, kes kemenangan tiba-tiba Kristian layak guna kalimah Allah, kes penghantar makanan memukul pemesan yang mempermainkan kalimah Allah, kes pencerobohan Hutan Simpan Kekal di Raub yang membabitkan Ahli Jawatankuasa DAP Kebangsaan, Ronnie Liu Tian Khiew

“Semua yang berlaku dah dijelaskan oleh Allah SWT supaya umat Islam meletakkan kewaspadaan dan berjaga-jaga terhadap muslihat orang kafir,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Menjelaskan perkara itu, Ustaz Fahmi berkata, pihaknya bukan mengajak untuk bermusuh tetapi dalam meraikan masyarakat majmuk, orang Islam tidak boleh membiarkannya sehingga kehilangan kuasa memerintah.

Lebih malang jika tiada prinsip, lupa diri dan gagal untuk bertegas dalam isu melibatkan dasar, katanya.

“Pada peringkat awal, di saat inginkan peluang dan tempat, mereka bagaikan ‘pijak semut tak mati, sangat prihatin, peduli dan sopan dalam menyantuni pengundi’.

“Bila mula mendapat perhatian dan pengaruh, mereka memberikan gula-gula politik. Meletakkan masyarakat dalam keterikatan kebajikan, keadilan sehingga hilang prinsip wala’ dan barra’ (patuh dan berlepas diri), lalu segala undi dan sokongan total untuk kemenangan mereka mendapat jawatan dan kuasa.

“Untuk memperluas kuasa, mereka membina persepsi, mencetus provokasi, sehingga masyarakat memandang mereka adalah solusi, padahal mereka sendiri yang menjadi proksi,” dakwanya.

Mengulas lanjut, Ustaz Fahmi menegaskan, Allah SWT meneruskan lagi amaran-Nya dengan berkata bahawa apabila puak kafir berkuasa, mereka akan mula memperlekeh, menghina dan mempertikai kedaulatan Islam.

“Kita bimbang kerana amaran Allah, setelah mereka berkuasa penuh, mereka akan mula menindas, menekan dan menzalimi umat Islam. 

“Kerakusan kuasa dan politik akan terus meletakkan kuasa politik Islam akan terus tertekan. Bahkan mereka akan menutup segala bentuk punca kuasa Islam yang akan bangkit menentang dan menjatuhkan mereka.

“Ketika itu barulah umat Islam khususnya orang Melayu, menyesal dan menagih simpati tanpa siapa peduli,” katanya.

Mengambil pengajaran daripada amaran Allah SWT, Ustaz Fahmi meminta agar umat Islam belajar daripada kesilapan lalu yang telah membuatkan orang Islam hilang kuasa.

“Maka Pilihan Raya Umum ke-15, umat Islam dan Melayu mesti muafakat, pemimpin negara dan pemimpin politik mesti ikhlas, jujur dan pintar dalam mencatur dan merancang masa depan negara,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button