Berita Utama

85 hektar pokok durian Musang King sudah ditebang

Aktiviti tebang pokok dijangka siap sepenuhnya minggu depan

RAUB, 29 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Lebih 85 hektar pokok di kawasan kebun durian Musang King – yang ditanam secara haram – dalam Hutan Simpan Batu Talam, di sini, sudah ditebang sejak lima hari lalu.

Operasi memusnahkan pokok durian berjalan lancar susulan kehadiran lebih ramai penebang terdiri daripada kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di setiap daerah di negeri itu.

Hampir 100 kakitangan JPNP yang menyertai Operasi Pamah dan mereka dibantu anggota Unit Penguatkuasa Negeri Pahang (UPNP) yang menjalankan kerja menebang secara berterusan menggunakan mesin gergaji berantai.

Ketua Penolong Pengarah (Penguatkuasa), Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) Nor Azirim Ahmad berkata, aktiviti menebang sebenarnya dilakukan hanya dalam masa lima hari sahaja kerana tindakan provokasi selain jambatan yang dirosakkan menyebabkan kerja menebang tergendala.

“Aktiviti menebang mula berjalan lancar pada Selasa lalu terutama selepas kehadiran anggota Pasukan Gerakan Am (PGA) yang bertanggungjawab mengawal dalam kawasan Hutan Simpan Batu Talam.

“Termasuk mengadakan dua sekatan jalan raya (SJR) di laluan masuk ke hutan simpan berkenaan,” katanya seperti dilapor media tempatan hari ini.

Selain itu, beliau berkata, faktor hujan pada sebelah petang selain angin kencang turut menjejaskan kelancaran aktiviti menebang yang jadual asal mengambil masa sebulan untuk siapkan.

Beliau menjangkakan aktiviti menebang pokok durian Musang King siap sepenuhnya minggu depan terutama apabila semua jadual bertugas kini berjalan lancar mengikut apa yang dirancang.

Selepas aktiviti menebang selesai sepenuhnya kerja menanam pokok hutan akan dilakukan segera, katanya.

Katanya lagi, beberapa spesies pokok hutan sudah dikenal untuk penanaman semula itu antaranya meranti temak nipis.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button