DUN Kelantan bersidang Ogos ini
Bagaimanapun tarikh sebenar masih belum ditetapkan: Speaker

JELI, 29 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kelantan dijangka diadakan Ogos ini, kata Speaker DUN Kelantan, Datuk Abdullah Ya’kub.
Bagaimanapun, beliau memberitahu pemberita di sini hari ini tarikh sebenar sidang DUN belum ditetapkan.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas menghadiri Program Bantuan Bakul Makanan menerusi Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) kepada penduduk Kampung Berdang, di sini hari ini. Turut hadir Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Ekonomi) Datuk Seri Mustapa Mohamed.
Mengulas lanjut, Abdullah berkata pihaknya telah mengedarkan surat kepada setiap Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) untuk mengemukakan soalan bagi sesi soal jawab.
“Sekarang ini, kita masih dalam proses persediaan rang undang-undang (RUU) yang akan diangkat ke persidangan DUN Kelantan,” katanya.
Pada Isnin lepas, Pejabat Perdana Menteri dalam satu kenyataan memaklumkan persidangan khas Dewan Rakyat akan diadakan selama lima hari mulai 26 Julai ini, manakala sidang Dewan Negara pula diadakan tiga hari bermula 3 Ogos.- Bernama