Berita Utama

Lelaki ceroboh hutan simpan ditahan bersama 22 durian Musang King

Dakwa tidak sengaja masuk kawasan larangan

RAUB, 29 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Seorang lelaki ditahan bersama 22 biji durian Musang King kerana menceroboh Hutan Simpan Batu Talam (HSBT).

Lelaki berusia 42 tahun itu ditahan anggota Unit Penguat kuasa Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) di kompartmen 175 hutan simpan itu, pada Khamis.

Dia yang menunggang motosikal jenis Honda EX5 itu ditahan atas kesalahan memasuki hutan simpan tanpa permit.

Ketua Penolong Pengarah (Penguat kuasa) JPNP, Nor Azirim Ahmad berkata, ketika disoal, lelaki itu mendakwa ke kebunnya yang terletak bersebelahan HSBT untuk mengambil durian yang mula gugur dan tidak sengaja memasuki kawasan larangan terbabit.

“Kita tidak pasti kenapa lelaki itu yang menetap di Kampung Tras, berada dalam kawasan hutan simpan, sedangkan kebunnya berada di luar kawasan berkenaan.

“Bersamanya juga ada 22 biji durian Musang King. Kita tidak menolak kemungkinan dia mengambil durian itu di dalam Hutan Simpan Batu Talam dan mahu menjualnya kepada pemborong,” katanya seperti dilapor media tempatan.

Nor Azirim berkata, lelaki terbabit berjaya melepasi dua sekatan jalan raya (SJR) pihak berkuasa dengan alasan untuk ke kebunnya dengan membawa bersama geran tanah.

Katanya lagi, lelaki berkenaan boleh dikenakan tindakan undang-undang mengikut Seksyen 47 Akta Perhutanan Negara (APN) 1984 kerana memasuki hutan simpan tanpa permit.

Jika sabit kesalahan boleh didenda sebanyak RM10,000 atau penjara tiga tahun atau keduanya sekali.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button