Berita Utama

MCA pula tunjuk ‘hero’ mahu bantu penceroboh haram Musang King

Akan bincang dengan kerajaan negeri untuk bantu selesai masalah

BANGI, 29 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Isu penceroboh haram durian Musang King di Raub, Pahang bukan hanya mendapat mendapat perhatian dan sokongan DAP, bahkan juga daripada parti berasaskan kaum, MCA.

Parti yang menjadi sebahagian daripada Kerajaan Pusat itu mendakwa akan membantu kumpulan pekebun haram yang kononnya terjejas dengan tindakan kerajaan negeri Pahang menjalankan operasi memusnahkan pokok durian di Hutan Simpan Batu Talam.

Setiausaha Agung MCA, Datuk Chong Sin Woon berkata, pihaknya akan berbincang dengan kerajaan negeri untuk membantu menyelesaikan masalah itu secara damai. 

“Mereka (pekebun) memberitahu saya mengenai kebimbangan dan permintaan mereka. Seterusnya, kita akan berhubung dengan ibu pejabat parti dan berusaha untuk menyampaikan suara pekebun kepada kerajaan negeri. 

“Sebagai permulaan, kami meminta kerajaan negeri untuk mengadakan perbincangan langsung dengan pekebun secepat mungkin,” katanya seperti dilapor akhbar The Star.

Sin Woon mendakwa, MCA prihatin terhadap isu berkenaan, dan percaya jalan terbaik adalah dengan mengadakan rundingan antara kedua-dua pihak.

“Sejak awal, kita percaya bahawa sebarang saluran perbincangan tidak boleh diabaikan.

“Untuk menyelesaikan sebarang konflik dan masalah, kami yakin cara terbaik adalah kembali ke meja rundingan. Bersikap konfrontasi hanya akan memburukkan keadaan,” katanya. 

Oleh kerana isu pencerobohan telah lama berlaku, beliau berkata, kerajaan negeri dan pekebun haram patut duduk bersama serta berbincang, khususnya setelah kejadian 18 individu direman baru-baru ini. 

“Kita berharap akan ada penyelesaian yang damai di mana kedua-dua pihak tidak perlu bertelagah. 

“Yang penting kita duduk dan menyelesaikan perkara ini dengan tenang kerana semua pihak mempunyai pandangan masing-masing,” katanya. 

Terdahulu, seramai 18 penceroboh haram kebun durian Musang King ditahan kerana disyaki menceroboh Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam di Raub.

Mereka ditahan selepas melakukan beberapa provokasi terhadap kakitangan Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP) ketika operasi memusnahkan pokok durian Musang King di Hutan Simpan Kekal (HSK) Batu Talam, Raub.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button