Berita Utama

Mustahil 20 tahun tanah 101 ekar diceroboh tiada pihak sedar!

Kerajaan Pahang bukan rugi ribuan ringgit, malah mungkin jutaan ringgit

BANGI, 29 Zulkaedah 1442H, Sabtu – Kegagalan kerajaan Pahang mengambil tindakan terhadap penceroboh haram di Hutan Simpan Kekal Batu Talam, Raub memberi gambaran seolah-olah ada pihak meraih keuntungan secara haram daripada kegiatan pencerobohan tanah itu.

Ini kerana, kerugian yang dihadapi kerajaan negeri bukan ribuan ringgit, malah berkemungkinan mencecah jutaan ringgit hasil daripada pencerobohan tanah seluas 101 hektar terbabit.

Pengerusi Pertubuhan-Pertubuhan Pembela Islam (PEMBELA), Haji Aminuddin Yahaya berkata, mustahil bagi tanah seluas itu boleh diceroboh untuk satu tempoh yang lama tanpa ada pihak menyedarinya.

“Ini adalah satu penganiayaan kepada rakyat, pemusnahan alam sekitar di hutan simpan dan kerugian kepada kerajaan negeri serta pusat atas sikap tidak bertanggungjawab pihak-pihak tertentu.

“Perlu ditekankan bahawa kes ini telah menarik perhatian rakyat dari seluruh negara yang mempersoalkan kenapakah pihak berkuasa menunggu selama 20 tahun untuk mengambil tindakan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Justeru, PEMBELA menuntut supaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) mengambil tindakan segera terhadap mana-mana pihak yang dikenal pasti melakukan kesalahan rasuah tanpa sebarang pilih kasih.

Beliau menegaskan bahawa rakyat kini sedang memerhati dan menilai tindakan SPRM sebagai sebuah badan yang menjadi kayu ukur dalam hal integriti negara.

“Kita juga menuntut pihak keselamatan meneruskan tindakan mereka dengan melibatkan Pasukan Gerakan Am (PGA) yang dilihat berfungsi begitu baik dalam mengawal keadaan yang membolehkan proses penebangan pokok berjalan lancar.

“Mana-mana pihak yang cuba menyekat usaha penebangan ini mesti dikenakan tindakan,” katanya.

Pada masa sama, Haji Aminuddin turut menuntut kerajaan negeri menghentikan sebarang rundingan atau kompromi dengan penceroboh kerana usaha langkah itu menyebabkan usaha pembersihan terbantut seperti yang berlaku di Sungai Ruan dan Kampung Chalit.

“Kawasan hutan simpan kekal hendaklah kekal menjadi hutan simpan dan tidak dijadikan kawasan bagi sebarang aktiviti pertanian bagi menjaga alam sekitar, ekologi dan mengelak pencemaran.

“PEMBELA berharap pihak berkuasa konsisten kuatkuasakan undang-undang dengan tegas dan integriti terutama dalam isu pencerobohan tanah, bukan hanya di Raub bahkan daerah seluruh negeri Pahang,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button