Berita Utama

UMNO ‘gopoh’ jika usul undi tak percaya PM

Perkukuh politik bangsa Melayu demi kesejahteraan nasional

Oleh Athirah Huda Zalhe

BANGI, 29 Zulkaedah 1442H, Sabtu – UMNO akan dilihat parti gopoh dan tidak mementingkan rakyat, sekiranya mengusulkan undi tidak percaya terhadap Perdana Menteri pada sidang Parlimen nanti.

Tidak mustahil juga, UMNO akan terus dikecam dan dibenci dengan tindakan kemaruk kuasa – apabila membuat porak-peranda terutama dalam tempoh pandemik ini. 

Sepatutnya, UMNO sebagai parti terbesar orang Melayu fokus membantu negara melandaikan kes jangkitan harian COVID-19 dengan membina kestabilan politik, pemulihan ekonomi serta ketenteraman awam.

Demikian jelas Presiden BERJASA, Ustaz Haji Zamani Ibrahim mengulas kemelut politik negara ketika ini, membabitkan UMNO dengan kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Ini selepas UMNO menuntut Tan Sri Muhyiddin Yassin meletakkan jawatan bagi memberi laluan kepada seorang perdana menteri baharu dilantik untuk suatu tempoh terhad untuk menguruskan hal pandemik COVID-19 serta bantuan rakyat.

Ustaz Zamani berkata, pengumuman keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO 

oleh Presiden, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi tidak akan memberi kesan kepada Muhyiddin.

“Ini kerana keputusan tersebut adalah keputusan parti. Semua menteri dan timbalan menteri UMNO di dalam PN sudah pun mengeluarkan kenyataan rasmi untuk menyokong PM.

“Malah, lantikan Datuk Seri Ismail Sabri sebagai Timbalan Perdana Menteri bukan bermakna berlakunya peralihan daripada Bersatu kepada UMNO.

“Sebaliknya, pelantikan itu dilihat sebagai mengurangkan penekanan UMNO kepada Muhyiddin sebagai PM,” katanya kepada Ismaweb.net, hari ini.

Dalam situasi begini, beliau berkata, Muhyiddin sebagai Perdana Menteri harus mempunyai keberanian untuk menzahirkan titah Yang di-Pertuan Agong.

“Negara mesti ditadbir dan diurus mengikut peruntukan Perlembagaan.

“Menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen dan mengadakan PRU15 di saat negara berada di kemuncak pandemik adalah satu tindakan yang sangat tidak sesuai,” katanya.

Atas dasar itu, BERJASA berpendapat bahawa penyelesaian yang perlu dilaksanakan adalah memperkukuh politik bangsa Melayu, kerana langkah itu sahaja mampu membawa kepada keamanan dan kesejahteraan nasional.

“Parti Melayu, Islam mesti membina keserasian dan kerjasama dengan semua parti Melayu, Islam sedia ada.

“Semua parti Melayu, Islam dibentuk kerjasama dan kesefahaman dalam membawa agenda watan. Tolak ansur demi keserasian dan kesatuan perlu dijelmakan dalam perkongsian kuasa.

“Sudah sampai masanya parti berubah kepada norma baharu, daripada berpusat kepada agenda parti kepada agenda watan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button