Berita Utama

Tiada keperluan bubar Parlimen, fokus stabil negeri dahulu: Presiden ISMA

UMNO perlu kotakan janji martabatkan Melayu dan Islam

Oleh Zuhayati Yazid

BANGI, 11 Syaaban 1443H, Isnin – Tumpuan kini perlu difokuskan kepada kestabilan negeri dahulu berbanding ‘melompat’ untuk mengadakan Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).

Presiden gerakan Islam, Ikatan Muslimin Malaysia (ISMA), Ustaz Muhammad Fauzi Asmuni berpandangan, Barisan Nasional (BN) yang memenangi Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor perlu menyelesaikan dahulu struktur pentadbiran negeri di semua peringkat.

“Semua ini perlu dititik berat supaya kestabilan politik, ekonomi dan sosial dapat dicapai.

“Lantikan Menteri Besar dan ahli jawatankuasa mesti dilakukan dengan cermat dan mengikut peraturan yang ditetapkan agar menjadi barisan kepimpinan negeri yang kukuh.

“Sekarang bukannya masa untuk membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU, sebaliknya utamakan kepada yang menjadi kepentingan pada masa ini ,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Beliau dalam masa sama menegaskan, UMNO sebagai parti utama dalam kemenangan BN di Johor perlu mengotakan janji untuk memartabatkan agama Islam dan orang Melayu.

Mengulas lanjut, Ustaz Fauzi berkata, rakyat kini ternanti-nanti pembentukan struktur kepimpinan negeri yang baharu sekali gus menjadikan ia sebagai ukuran pertama untuk dinilai.

“Terdapat banyak mesej tersirat dan tersurat yang disampaikan oleh rakyat melalui keputusan PRN Johor ini dan semua ini perlu difahami oleh semua pihak termasuklah pemimpin BN yang bakal menjadi pentadbiran kerajaan negeri,” katanya.

Tegas beliau, mesej-mesej berkenaan sebenarnya memberikan gambaran apa yang bakal berlaku sekiranya PRU15 diadakan dalam masa tersekat.

Kelmarin, dalam PRN Johor, BN memperoleh majoriti dua pertiga selepas memenangi 40 daripada 56 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN).

Selain itu, Perikatan Nasional (PN) mendapat tiga kerusi, DAP (10 kerusi), manakala Parti Ikatan Demokratik Malaysia (MUDA), Parti Amanah Negara (AMANAH) dan PKR masing-masing satu kerusi.

Susulan kemenangan besar itu, laungan ‘bubar Parlimen’ dalam kalangan penyokong BN bergema di bangunan UMNO Johor.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button