Berita Utama

33 hektar hutan simpan di Negeri Sembilan diceroboh

Hutan diceroboh akan diambil tindakan, dilaksana program pemulihan

SEREMBAN, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Jabatan Perhutanan Negeri Sembilan (JPNS) mengenal pasti pencerobohan berskala kecil kawasan hutan simpan di negeri itu yang membabitkan beberapa kawasan seluas 33 hektar.

Pengarah JPNS, Saleh Awaludin menegaskan, mana-mana kawasan hutan yang diceroboh akan diambil tindakan penguatkuasaan dan dilaksanakan program pemulihan kawasan hutan.

“Kerajaan Negeri Sembilan mengambil berat dan tindakan serius diambil dalam menangani isu penerokaan dan pencerobohan kawasan hutan simpan kekal,” katanya seperti dilapor Mingguan Malaysia.

Bagaimanapun, katanya, terdapat seluas 113 hektar kawasan teroka hutan simpanan kekal yang ditanam dengan pokok durian melebihi 10 tahun dan ia telah diberikan Permit Penggunaan melibatkan 83 orang peserta.

Jelasnya, pekebun-pekebun itu sebelum ini telah diberikan lesen kecil pengeluaran durian yang perlu mereka bayar sebagai hasil kepada kerajaan negeri.

“Lesen itu pula kini telah ditukar kepada Permit Penggunaan yang perlu mereka perbaharui setiap tahun,” katanya.

Menurut Saleh, sebanyak 30 lesen kecil pengeluaran durian yang diberikan sebelum ini telah dibatalkan oleh kerajaan negeri selepas pekebun tersebut tidak menjelaskan tunggakan yang ada di antaranya telah melebihi 10 tahun.

“Bagi yang bayar tunggakan pula kita tukarkan kepada Permit Penggunaan, mereka masih boleh mengeluarkan hasil namun dengan syarat mereka perlu menanam semula pokok-pokok hutan yang lain tanpa menanam pokok durian baharu.

“Permit Penggunaan ini mereka perlu perbaharui setiap tahun, jika kami dapati mereka ingkar dengan syarat ditetapkan, kami akan membatalkan permit tersebut. Permit ini semua untuk kes-kes lama, tiada permit baharu dikeluarkan lagi setakat ini,” katanya.

Katanya lagi, pelaksanaan Permit Penggunaan dilaksanakan adalah bagi memastikan tiada unsur dengan niat pemilikan tanah dalam kalangan pekebun durian tersebut.

“Kita mahu elakkan kepupusan hutan, mereka masih boleh keluarkan hasil durian tapi mesti tanam pokok hutan juga bagi memastikan hutan yang diceroboh itu kita dapat pulihkan semula,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button