Berita Utama

Kelantan tak benar ibadah korban persendirian, keluarga tahun ini

Masjid bandar, jajahan, mukim dibenar tambah tempat sembelihan di lokasi sesuai

KOTA BHARU, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Aktiviti korban persendirian atau keluarga adalah tidak dibenarkan di negeri Kelantan, manakala bilangan maksimum untuk sembelihan binatang korban dalam satu hari dihadkan kepada seekor.

Yang Dipertua Majlis Agama Islam Dan Adat Istiadat Melayu Kelantan (Maik), Tan Sri Tengku Mohamad Rizam Tengku Abdul Aziz berkata, antara lokasi yang dibenarkan untuk melaksanakan ibadah korban adalah rumah sembelih ruminan jabatan (Kompleks Abatoir DVS) di tiga buah jajahan iaitu Kota Bharu, Machang dan Pasir Mas.

Selain itu, katanya, ibadah korban boleh dilaksanakan di masjid bandar, jajahan, mukim dengan kelulusan pihak Maik.

“Walau bagaimanapun, Maik mendapat makluman terdapat masjid-masjid yang tidak memenuhi kriteria sebagaimana ditetapkan di dalam Prosedur Operasi Standard Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP 3.0) Negeri Kelantan tahun 2021.

“Antaranya seperti tidak mempunyai kawasan berpagar serta keluasan kawasan yang kurang daripada 10 meter persegi serta mendapat permohonan sembelihan korban melebihi 20 ekor dalam tempoh empat hari,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sehubungan itu, Maik bersetuju memberi kebenaran kepada pihak masjid bandar, jajahan dan mukim untuk menambah tempat sembelihan ibadah korban di lokasi yang sesuai.

Namun, katanya, pihak tersebut perlu mematuhi beberapa perkara termasuk kawasan yang dicadangkan perlu dikawal selia oleh pihak masjid bandar, jajahan dan mukim berdasarkan SOP Pelaksanaan Ibadah Korban dalam tempoh PKP 3.0.

“Ia juga perlu diadakan di dalam kawasan yang berpagar dan mempunyai keluasan yang mencukupi (sekurang-kurangnya 10 meter persegi), tapak penyembelihan yang sesuai, bersih dan selamat serta tidak berhampiran saliran awam).

“Jumlah maksima sembelihan korban hendaklah tidak melebihi lima ekor sehari (20 ekor) lembu dalam tempoh empat hari (20 Julai 2021-23 Julai 2021) serta mendapat kebenaran daripada pihak Polis Diraja Malaysia,” katanya.

Tengku Mohamad Rizam berkata, kepatuhan semua pihak terlibat termasuk penganjur, peserta dan petugas dalam pelaksanaan ibadah korban akan dapat mengurangkan risiko dan membendung penularan wabak COVID-19. 

“Adalah diharapkan dengan pelaksanaan dan pematuhan garis panduan ibadah korban ini akan dapat membantu usaha memutuskan rangkaian wabak COVID-19,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button