Berita Utama

67.61 peratus guru sudah terima sekurangnya satu dos vaksin

Usaha dipergiat bagi tingkat kadar vaksinasi di kalangan kakitangan sekolah

BANGI, 13 Zulhijjah 1442H, Jumaat – Sejumlah 67.61 peratus guru telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin COVID-19, kata Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Dr Radzi Jidin.

Bagi guru kelas peperiksaan khususnya, beliau berkata, seramai 85.17 peratus daripada kumpulan guru berkenaan telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

Malah katanya, usaha sedang dipergiat bagi meningkatkan kadar vaksinasi dalam kalangan kakitangan sekolah, yang ketika ini sejumlah 54.52 peratus telah menerima sekurang-kurangnya satu dos vaksin.

“Syabas dan terima kasih diucapkan kepada seluruh tenaga kerja semua yang terlibat dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan (PICK).

“KPM (Kementerian Pendidikan) akan terus bekerjasama rapat dengan CITF untuk mempercepatkan pemberian vaksin kepada guru dan kakitangan sokongan sekolah,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Pada masa sama, Radzi turut mengucapkan tahniah kepada PICK kerana mencatatkan jumlah pemberian vaksin tertinggi iaitu 502,050 dos pada 22 Julai.

“Satu kejayaan yang amat membanggakan bagi negara. Kini, Malaysia adalah antara negara yang mencatatkan kadar vaksinasi harian tertinggi di dunia.

“Walaupun pada awalnya, kadar vaksinasi agak perlahan kerana kekangan bekalan vaksin, namun kejayaan ini membuktikan manifestasi usaha gigih kerajaan bersama seluruh rakyat untuk mencapai imuniti kelompok,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button