Berita Utama

Menteri prestasi teruk, jadi beban kerajaan perlu ditukar

Perdana Menteri perlu sedia buat rombakan Kabinet segera

BANGI, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Sudah tiba masanya pencapaian, prestasi dan kemampuan para menteri dalam kerajaan dikaji, untuk membenarkan satu rombakan Kabinet dilaksanakan.

Ketua Penerangan Parti Barisan Jemaah Islamiah Se-Malaysia (BERJASA) Negeri Selangor, Yudi Kurniawan Budi berkata, rakyat melihat dan menilai prestasi sebahagian menteri dalam Kabinet dalam menangani pandemik ini amat teruk dan mendukacitakan.

Beliau berkata, saban hari rakyat diperlihatkan dengan peningkatan angka-angka jangkitan termasuk korban yang tidak pernah susut.

“Rakyat bimbang dengan melihat situasi sekarang, jumlah kes jangkitan harian jauh terlalu tinggi berbanding nilai ambang PPN iaitu kurang daripada 4,000 kes sehari.

“Kapasiti hospital yang makin penuh dengan beberapa negeri menunjukkan peningkatan kes harian baharu melebihi kapasiti maksimum hospital di negeri tersebut, Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur, Selangor, Negeri Sembilan dan Wilayah Persekutuan Labuan.

“Mengambil contoh kes di Selangor, negeri ini telah mencatatkan sebanyak 42.02 peratus daripada 47,811 kes bagi tempoh minggu pertama Julai berbanding hanya 38.33 peratus daripada 40,973 kes bagi tempoh 24 Jun hingga 30 Jun.

“Seorang doktor pakar dari Universiti Malaya berkata semalam bahawa jumlah individu positif COVID-19 mungkin lebih tinggi daripada yang dilaporkan dan mungkin boleh mencecah sehingga 30,000 orang,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Justeru, beliau menegaskan, sebelum segalanya terlambat, Perdana Menteri mesti meneliti atau sekurangnya membuat perbincangan dengan parti komponen Perikatan Nasional untuk menilai semula kedudukan menteri-menteri kerajaan.

“Menteri yang bermasalah, mendatangkan masalah dan membebankan kerajaan dan rakyat mesti digugurkan, dipindah atau ditukar,” katanya.

Yudi berkata, Perdana Menteri perlua meneliti dan merombak kementerian tertentu yang bukan sahaja berprestasi teruk tetapi turut memberikan imej buruk kepada kerajaan dan sistem kesihatan negara.

“Menteri yang tidak mampu menangani pandemik, tidak dapat membendung peningkatan kes dan tidak dapat menyeimbangkan keperluan ekonomi dan kesihatan rakyat perlu ditukar,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button