Berita Utama

80,336 individu sudah terima vaksin COVID-19

Sarawak catat jumlah suntikan tertinggi babitkan 13,691 orang

KUALA LUMPUR, 20 Rejab 1442H, Khamis – Seramai 80,336 individu telah menerima vaksin setakat semalam bagi fasa pertama Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Memetik laporan Berita Harian, Menteri Penyelaras program yang juga Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Khairy Jamaluddin memaklumkan perkara itu menerusi ciapan dalam akaun Twitter rasmi beliau, hari ini.

Berdasarkan maklumat Jawatankuasa Khas Jaminan Akses Bekalan Vaksin COVID-19 (JKJAV) setakat jam 11.59 malam tadi yang dikongsikan Khairy, Sarawak mencatat jumlah penerima suntikan tertinggi membabitkan 13,691 orang.

Ia diikuti Kuala Lumpur (8,505), Perak (7,757), Kelantan (7,725), Pahang (7,415), Johor (6,454), Terengganu (4,566), Kedah (4,388) dan Selangor (4,276).

Seterusnya, Negeri Sembilan (3,101), Pulau Pinang (2,914), Melaka (2,752), Sabah (1,898), Labuan (1,789), Perlis (1,598) dan Putrajaya (1,507).

Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan dilaksanakan dalam tiga fasa yang bermula dengan golongan barisan hadapan, disusuli kumpulan berisiko tinggi dan rakyat berusia 18 tahun ke atas.

Ia bagi memastikan antara 70 hingga 80 peratus rakyat negara ini menerima vaksin menjelang Februari 2022, sekali gus membentuk imuniti kelompok bagi mengekang penularan COVID-19.

Fasa pertama berlangsung hingga April depan membabitkan 500,000 petugas barisan hadapan, manakala fasa kedua meliputi 9.4 juta orang dalam perkhidmatan penting, warga emas dan kumpulan berisiko tinggi dengan penyakit kronik (April hingga Ogos).

Fasa ketiga pula dijadualkan bermula Mei depan hingga Februari 2022 dengan menyasarkan 13.7 juta rakyat berumur 18 tahun ke atas.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button