Berita Utama

NGO harap siasatan kes durian haram di Raub segera lengkap

Jika ada bukti rasuah, orang ramai diminta tampil ke SPRM

RAUB, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Gabungan Pertubuhan Melayu Islam Raub berharap, siasatan dijalankan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) berhubung isu pencerobohan tanah kerajaan negeri Pahang yang dijadikan ladang durian secara haram di Raub segera disiapkan.

Ini kerana siasatan berkenaan dapat menjawab dakwaan atau kemusykilan banyak pihak yang mengaitkan isu itu dengan rasuah.

Wakil gabungan, Fadzli Mohamad Kamal berkata, masyarakat di Raub juga ingin mengetahui situasi sebenar dan tidak mahu lagi dibelenggu dengan persoalan terbabit.

Beliau turut mendesak mana-mana pihak yang memiliki bukti terdapat unsur rasuah pada isu itu supaya tampil kepada SPRM.

“Jangan cakap kosong, bagi kerjasama kerana SPRM telah berikan ruang dan minta tampil kepada pihak mereka,” katanya seperti dilapor Sinar Harian, hari ini.

Sambil menyambut baik usaha SPRM, Fadzli berkata, gabungan itu juga akan terus memberikan sokongan padu terhadap kepimpinan serta ketegasan Menteri Besar, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail dalam menangani isu terbabit

Terdahulu, Ketua Pesuruhjaya SPRM, Datuk Seri Azam Baki berkata, setakat ini siasatan yang mengambil masa untuk diselesaikan itu sudah 80 peratus siap.

Katanya, dalam siasatan yang dijalankan, SPRM sudah memanggil peneroka dan pihak berkuasa berkaitan untuk diambil keterangan masing-masing.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button