Berita Utama

Permohonan i-Citra dibuka mulai esok

Jumlah pengeluaran dilulus dibayar sehingga 5 kali

BANGI, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Ahli Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) berusia 55 tahun ke bawah boleh membuat permohonan pengeluaran i-Citra mulai 12 Julai – tiga hari lebih awal daripada tarikh ditetapkan.

Jabatan Hal Ehwal Korporat KWSP dalam satu kenyataan berkata, permohonan itu boleh dibuat menerusi laman sesawang icitra.kwsp.gov.my.

Katanya, bagi memudahkan ahli mengemukakan permohonan dalam talian i-Citra, ahli dinasihatkan untuk memastikan nombor telefon bimbit mereka adalah sama seperti dalam rekod KWSP bagi urusan penerimaan One-Time Password (OTP), di samping mempunyai akaun bank yang masih aktif untuk bayaran pengeluaran itu.

“i-Citra membolehkan ahli yang layak untuk membuat pengeluaran simpanan KWSP mereka sehingga jumlah maksimum RM5,000 tertakluk kepada jumlah baki simpanan dalam kedua-dua Akaun 1 dan 2.

“Jumlah pengeluaran yang diluluskan akan dibayar secara sehingga lima kali bayaran bulanan sebanyak RM1,000 sebulan tertakluk kepada baki simpanan. Pembayaran pertama i-Citra dijangka akan dikreditkan ke dalam akaun bank ahli bermula dari bulan Ogos 2021,” katanya.

Untuk maklumat lanjut berkenaan i-Citra serta cara-cara membuat permohonan, ahli boleh merujuk laman komunikasi rasmi KWSP, laman web di www.kwsp.gov.my, atau hubungi talian hotline i-Citra di 03-8922 4848.

Pengeluaran i-Citra diperkenalkan selaras dengan pengumuman Pakej Perlindungan Rakyat dan Pemulihan Ekonomi (PEMULIH) oleh Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin pada 28 Jun lalu.

Ia adalah sebagai inisiatif jangka pendek bagi membantu pencarum yang terkesan dengan cabaran ekonomi akibat pandemik COVID-19 serta mengimbangi keperluan masa kini dan masa depan ahli.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button