Berita UtamaDunia

Wanita usia 90 tahun maut dijangkiti varian Alpha dan Beta

Kajian 2 jenis varian berjangkit serentak sedang dibentang sebelum diterbitkan

BRUSSELS, 1 Zulhijjah 1442H, Ahad – Seorang wanita berusia 90 tahun yang meninggal dunia akibat COVID-19 disahkan dijangkiti kedua-dua varian Alpha dan Beta pada masa yang sama, kata para penyelidik di Belgium pada hari Ahad.

Wanita yang tidak divaksinasi itu tinggal bersendirian dan mendapat rawatan kejururawatan di rumah.

Dia dimasukkan ke Hospital OLV di bandar Aalst di Belgium setelah beberapa kali jatuh sakit pada bulan Mac dan didapati positif COVID-19 pada hari yang sama.

Walaupun tahap oksigen pada awalnya baik, keadaannya merosot dengan cepat dan dia meninggal lima hari kemudian.

Ketika kakitangan perubatan menguji kewujudan varian yang mereka syaki, dan mendapati bahawa wanita itu membawa kedua-dua varian Alpha, yang berasal dari Britain, serta varian Beta yang pertama kali dikesan di Afrika Selatan.

“Kedua-dua varian ini menular di Belgium pada waktu itu, jadi kemungkinan wanita itu dijangkiti virus yang berbeza dari dua orang yang berbeza,” kata ahli biologi molekul, Anne Vankeerberghen dari Hospital OLV yang mengetuai penyelidikan.

Vankeerberghen berkata, sukar untuk mengatakan sama ada jangkitan kedua-dua varian memainkan peranan dalam kemerosotan keadaan kesihatan pesakit dengan cepat.

Sementara itu, penyelidikan yang belum diserahkan ke jurnal perubatan untuk diterbitkan, sedang dibentangkan di Kongres Eropah Mikrobiologi Klinikal & Penyakit Berjangkit.

Vankeerberghen dalam siaran media berkata, ‘tidak ada kes lain yang serupa yang diterbitkan’, dan beliau menyatakan bahawa kewujudan ‘fenomena itu mungkin diremehkan’.

Ini kerana ujian terhad untuk varian yang menjadi perhatian, katanya.

Pada bulan Januari, saintis di Brazil melaporkan bahawa dua orang secara serentak dijangkiti dengan dua jenis varian coronavirus yang berlainan, tetapi kajian itu belum diterbitkan dalam jurnal ilmiah. – Agensi

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button