Berita Utama

50 daripada 56 MT UMNO tarik sokongan terhadap Muhyiddin

Menteri UMNO tak perlu berundur, hanya Muhyiddin saja, kata Ahmad Maslan

KUALA LUMPUR, 2 Zulhijjah 1442H, Isnin – Majoriti Ahli Majlis Tertinggi UMNO menyokong menarik balik sokongan terhadap Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri, kata Datuk Seri Ahmad Maslan.

Setiausaha Agung UMNO itu menjelaskan, 50 daripada 56 anggota majlis tertinggi telah menandatangani borang persetujuan menarik balik sokongan terhadap Muhyiddin sebelum mesyuarat majlis tertinggi UMNO pada Rabu lalu.

“Perbezaan pendapat hanya timbul ketika perlu menarik balik sokongan kita,” katanya seperti dilapor akhbar tempatan.

Terdahulu, Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan, parti itu akan menarik sokongannya terhadap Muhyiddin sebagai Perdana Menteri selepas mesyuarat majlis tertinggi secara dalam talian pada malam Rabu (7 Julai) yang berlangsung hingga awal pagi Khamis.

Ahmad Maslan menambah, dalam pertemuan pada malam Rabu, hanya sebilangan kecil anggota majlis tertinggi yang bersetuju untuk menangguhkan penarikan sokongan terhadap Muhyiddin.

“Ada yang mencadangkan kita harus melakukannya ketika Parlimen bersidang semula, atau waktu lain,” katanya.

Beliau juga menyatakan bahawa dewan tertinggi mempunyai hak untuk menafsirkan keputusan Perhimpunan Agung UMNO, yang telah bersetuju untuk membenarkan presiden dan anggota dewan tertinggi memutuskan waktu yang tepat untuk menarik sokongan terhadap Muhyiddin.

Katanya, dari jumlah 56 anggota majlis tertinggi, hanya dua yang tidak menandatangani.

Beliau turut mengulangi bahawa majlis tertinggi juga bersetuju bahawa pihaknya tidak akan bekerjasama dengan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim atau DAP, kerana parti itu ingin memimpin jika berjaya membentuk kerajaan.

Mengenai keputusan presiden menarik sokongan terhadap Muhyiddin bermaksud bahawa menteri-menteri UMNO yang memegang jawatan kerajaan perlu mengundurkan diri, beliau berkata, bahawa UMNO hanya mahu Muhyiddin mengundurkan diri.

“Itulah yang kami minta, kami tidak pernah meminta orang lain untuk mengundurkan diri,” kata Ahmad Maslan.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published.

Back to top button