Berita Utama

Kompaun RM250 jika pemilik premis tidak pasang, kibar Jalur Gemilang

Pemantauan berkala ke premis-premis seminggu sebelum Hari Kebangsaan

IPOH, 20 Muharam 1444H, Khamis – Kompaun sebanyak RM250 akan dikenakan kepada premis perniagaan di bandar raya ini jika gagal mematuhi arahan pemasangan dan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata kompaun dikeluarkan Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) selaras Seksyen 107(2) Akta Kerajaan Tempatan 1976.

“Bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, kami (MBI) telah mengeluarkan 6,000 notis pemasangan bendera (Jalur Gemilang) kepada premis-premis persendirian dan memasang lebih 5,000 Jalur Gemilang di jalan-jalan utama dan sekitar bandar raya ini.

“Kami (MBI) akan melakukan pemantauan secara berkala ke premis-premis ini selalunya seminggu sebelum Hari Kebangsaan namun selama ini, pihak MBI mengamalkan sikap toleransi dengan memberi nasihat berbanding kompaun,” katanya selepas melancarkan Kempen Kibar Jalur Gemilang Peringkat MBI 2022 di sini hari ini.

Lebih 1,000 warga MBI memeriahkan program itu yang turut diserikan dengan pelbagai aktiviti menarik antaranya perarakan pasukan Penguatkuasa MBI, persembahan serta pemasangan Jalur Gemilang pada kenderaan rasmi milik MBI.

Rumaizi berkata kesedaran mengenai sambutan kemerdekaan amat penting dan perlu disemai bagi memupuk semangat cintakan negara serta menyuburkan rasa hormat antara satu sama lain tanpa mengira latar belakang, agama dan kaum. – Bernama

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button