Berita Utama

Kes rasuah Guan Eng didengar esok

Mahkamah Tinggi tolak permohonan untuk pindah perbicaraan empat pertuduhan

KUALA LUMPUR, 2 Zulhijjah 1442H, Isnin – Perbicaraan kes bekas Ketua Menteri Pulau Pinang, Lim Guan Eng membabitkan pembinaan terowong dasar laut dan projek pembinaan jalan utama di negeri itu, akan didengar di Mahkamah Sesyen, esok.

Ia susulan keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonan pemimpin DAP itu untuk memindahkan empat pertuduhan ke Mahkamah Tinggi.

Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Muhammad Jamil Hussin berkata, sebarang persoalan undang-undang boleh ditangani dan diputuskan oleh Mahkamah Sesyen.

“Hakim Mahkamah Sesyen mempunyai kelayakan undang-undang dan sangat berpengalaman untuk membicarakan kes terhadap pemohon.

“Hakim Mahkamah Sesyen juga mempunyai kebolehan dan mampu menangani sebarang persoalan undang-undang yang berbangkit.

“Mahkamah mendapati pemohon gagal mematuhi Seksyen 417(1)(d) Kanun Acara Jenayah. Sehubungan itu, notis pemohon ditolak,” katanya.

Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Wan Shaharuddin Wan Ladin membantah permohonan pihak pembelaan.

Beliau seperti dilapor media tempatan berkata, tindakan itu bukan sahaja mencetus kesangsian sedangkan tarikh perbicaraan telah ditetapkan pada 21 Disember lalu, malah ia dilihat sebagai menyalahgunakan proses mahkamah.

Katanya, tarikh perbicaraan itu telah dipersetujui kedua-dua pihak ketika ditetapkan pada Disember lalu.

“Malah pendakwaan sudah menyenaraikan beberapa saksi dari Pulau Pinang yang dipanggil memberi keterangan di Mahkamah Sesyen bermula esok,” katanya lagi.

Sehubungan itu, perbicaraan di hadapan Hakim Azura Alwi akan didengar esok.

Khamis lalu, Guan Eng memfailkan permohonan supaya kesnya dipindahkan ke Mahkamah Tinggi menerusi Tetuan Gobind Singh Deo & Co.

Ahli Parlimen Bagan itu turut memohon supaya semua prosiding di Mahkamah Sesyen ditangguhkan sementara menunggu keputusan permohonan itu.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button