Berita Utama

Mahasiswa tertekan, PEMBINA gesa IPT wujudkan tempoh bertenang

Percepat vaksinasi supaya boleh pulang ke kampus teruskan pembelajaran seperti biasa

Oleh Ainul Illia Meor Suzurudin

BANGI, 2 Zulhijjah 1442H, Isnin – Persatuan Belia Islam Nasional (PEMBINA) menggesa Kementerian Pengajian Tinggi (KPT) serta pihak institusi pendidikan tinggi (IPT) mencari mekanisme terbaik untuk memberi cuti sementara atau tempoh bertenang khususnya kepada para pelajar.

Presiden PEMBINA, Wafiq Azman berkata, tekanan yang dialami para pelajar sepanjang mod pembelajaran terbuka dan secara jarak jauh atau Open Distance Learning (ODL) tidak boleh dipandang remeh.

“Pelajar hari ini berada dalam satu tempoh yang mencabar dengan suasana dan kondisi pembelajaran ODL yang berbeza mengikut latar belakang individu dan keluarga. 

“Dengan keadaan pandemik dalam negara hari ini yang tidak seperti melihat bayang-bayang kejayaan, sememangnya menambah ujian kepada mereka yang rindukan suasana pembelajaran di kampus. 

“Tekanan demi tekanan yang diterima akibat bebanan tugasan yang berat dan tidak relevan untuk pembelajaran dalam talian serta ruang untuk lanjutan tarikh menghantar tugasan adalah antara yang menjadi asbab kepada kes tekanan,” katanya ketika dihubungi Ismaweb.net, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau berkata, berita melibatkan kes pelajar meninggal dunia akibat tekanan pelajaran sememangnya amat menyedihkan dan membimbangkan. 

Malah, terdapat juga sesetengah IPT yang memendekkan tempoh semester daripada enam 6 bulan kepada empat bulan sahaja hingga mengakibatkan pelajar keletihan dan alami tekanan melampau atau ‘burnout’. 

“Ini kerana jumlah tugasan yang diberikan tidak berkurang atau terlalu padat buat para pelajar,” katanya.

Sebelum ini, media melaporkan seorang mahasiswa jurusan pentadbiran perniagaan berusia 22 tahun daripada universiti awam meninggal dunia di Hospital Sultan Abdul Halim, Kedah, Jumaat lalu.

Sementara itu, seorang lagi pelajar Diploma Kejuruteraan Awam dari kampus UiTM Jengka juga meninggal dunia di Hospital Sultanah Nur Zahirah, Terengganu, pada Sabtu lalu setelah dilapor mengalami kecederaan di bahagian belakang dan atas kepalanya hingga berlaku pendarahan dalaman.

Bimbang kejadian sama berulang, Wafiq berkata dalam tempoh bertenang – seperti yang disyor-  pihak universiti melalui Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) boleh membuat tinjauan bagi mendapatkan maklumat mengenai pelajar yang menghadapi masalah tekanan baik dari sudut mental dan kewangan. 

Selain itu, beliau berkata, inisiatif-inisiatif universiti seperti sesi kaunseling diharapkan dapat dimanfaatkan bagi membantu memberikan sokongan kepada pelajar yang terkesan.

Pada masa sama, PEMBINA turut menggesa pihak kerajaan mempercepatkan proses vaksinasi kepada pelajar IPT agar mereka boleh segera pulang ke kampus untuk meneruskan proses pembelajaran seperti biasa. 

“Dua tahun ini, takwim pendidikan tinggi negara dilihat mengalami sedikit kelewatan yang mana mengakibatkan pelajar-pelajar yang telah dan akan menamatkan pengajian terpaksa menangguhkan proses tersebut. 

“Secara tidak langsung membantutkan proses untuk pelajar-pelajar ini bergerak ke fasa dunia pekerjaan,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button