Berita Utama

‘Nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi’

Konon mengaku boleh selesai semua masalah sekelip mata

BANGI, 2 Zulhijjah 1442H, Isnin – Hanya mereka yang masih gila berpolitiking membuat kenyataan bahawa Malaysia sudah gagal menangani wabak COVID-19, tegas Presiden PAS, Datuk Seri Abdul Hadi Awang.

Menyelar pihak berkenaan, beliau berkata, hal ini disebabkan oleh nafsu politik angkuh mereka terlalu tinggi dan sangat rakus mahu berkuasa, sehingga mendabik dada dalam menyelesaikan masalah seperti apa yang dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU-14) dahulu.

Katanya, pihak berkenaan masih ingin mengaku boleh menyelesaikan semua masalah dalam sekelip mata sahaja, sehingga sanggup merempuh keadaan paling mencabar yang masih dihadapi oleh mereka yang berada di barisan hadapan.

“Pasukan barisan hadapan berusaha penuh gigih dengan mengambil langkah pencegahan khususnya meningkatkan jumlah suntikan vaksin dengan seluas-luasnya bagi menyelamatkan rakyat, serta memberikan kefahaman akan kepentingannya kepada seluruh rakyat.

“Namun, sikap mereka yang terlalu berpolitiking mendakwa bahawa kenyataan Kementerian Kesihatan Malaysia yang melaksanakan tugas secara langsung melaporkan angka statistik penularan wabak COVID-19, dianggap sebagai berpolitik.

“Walaupun pihak yang melaporkan angka statistik tersebut wajib berterus terang, tidak boleh menyembunyikan realiti atau kenyataan sebenar yang berlaku di lapangan,” katanya menerusi kenyataan di Facebook beliau.

Ahli Parlimen Marang itu juga menempelak golongan tertentu yang berani mencabar pihak yang menunaikan kewajipan menangani wabak ini.

“Seperti orang buta memarahi orang yang menolongnya untuk menyeberangi jalan yang sibuk dan lalu lintas yang berbahaya.

“Sepatutnya berterima kasih kerana ada orang yang menolongnya, tetapi dibalas dengan maki hamun, seolah-olah tiada pertimbangan akal yang sihat, sudahlah matanya pula buta,” bidasnya.

Dalam keadaan yang mencabar seperti ini, Abdul Hadi berkata, peranan semua pihak adalah wajib bagi menyelamatkan keadaan secara bersama dan menolak segala kepentingan peribadi, puak dan kumpulan.

“Di sinilah pentingnya memelihara perpaduan dan permuafakatan yang sedia terjalin bagi meredakan ketegangan dan mewujudkan kestabilan politik dalam negara.

“Islam juga melarang para penganutnya daripada berputus asa,” katanya.

Penafian: Kenyataan berita atau artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak mewakili pendirian rasmi Media Isma Sdn Bhd atau Portal Islam dan Melayu Ismaweb.net.

Artikel berkaitan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *

Back to top button